KUNAK, 23 Mei (Bernama) -- Sebanyak 337 sekolah di negara ini terlibat dengan pelaksanaan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak tahun lepas melebihi sasaran ditetapkan, iaitu 300 sekolah, kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rosmahwati Ishak.
Beliau berkata sambutan menggalakkan sehingga mencapai sasaran 112 peratus daripada ditetapkan JKM menunjukkan komuniti sekolah mahu program kesedaran seumpama itu diperbanyakkan.
"Sehubungan itu, tahun ini, JKM membuat keputusan untuk memperluas lagi program berkenaan di 300 sekolah seluruh negara dengan 25 daripadanya dilaksanakan di Sabah," katanya kepada Bernama di Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat di sini hari ini.
Rosmahwati ditemui selepas Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak yang dirasmikan Timbalan Ketua Setiausaha Operasi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Farah Adura Hamidi sempena Kembara Kasih KPWKM 2025.
Beliau yang mewakili Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata gabungan kerjasama antara penduduk dengan komuniti sekolah termasuk guru, murid, ibu bapa dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) penting kerana menjadi tanggungjawab bersama untuk memastikan keselamatan kanak-kanak di kawasan sekitar.
"Kita tahu dan sedar bahawa kes-kes perlindungan kanak-kanak semakin meningkat tahun demi tahun, sebab itu gerakan gabungan kerjasama ini perlu kita lanjutkan untuk memastikan kesedaran melindungi kanak-kanak berada di tahap tertinggi," katanya.
Dalam pada itu, Rosmahwati berkata terdapat kepelbagaian pada program advokasi yang dilaksanakan tahun ini termasuk meningkatkan kreativiti dalam elemen Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC).
Selain itu, beliau berkata isu penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak di Malaysia masih lagi membimbangkan dan di Sabah sahaja terdapat 1,575 kes pada 2024.
"Angka ini bukan sekadar statistik tetapi mencerminkan 1,575 kisah luka, trauma dan ketidakadilan yang dialami oleh anak-anak kecil yang sepatutnya dilindungi dan disayangi," katanya.
Rosmahwati berkata panggilan percuma Talian Kasih 15999 serta aplikasi WhatsApp 019-2615 999 boleh dimanfaatkan komuniti yang memerlukan bantuan segera berkaitan kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.
"Kita menggalakkan lebih ramai tampil menggunakan talian ini untuk melaporkan sebarang bentuk kecurigaan yang berlaku, terutama yang melibatkan keselamatan kanak-kanak, perlindungan khususnya penderaan daripada aspek fizikal, emosi serta seksual kanak-kanak," katanya.
Beliau berkata masyarakat merupakan mata dan telinga terbaik untuk melaporkan di Talian Kasih, sekali gus menangani trend peningkatan penganiayaan serta pengabaian kanak-kanak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial