AM

Kad Pekerja MADANI Hadiah Hari Pekerja, Ringan Beban Kos Sara Hidup

01/05/2025 07:41 PM

KUALA LUMPUR, 1 Mei (Bernama) -- Inisiatif Kad Pekerja MADANI yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar sempena sambutan Hari Pekerja 2025 hari ini, disifatkan sebagai hadiah istimewa kepada golongan pekerja, sekali gus bersyukur dengan keprihatinan yang ditunjukkan kerajaan.

Di MELAKA, pembantu klinik Jaszmina Iskandar, 25, menyifatkan Kad Pekerja MADANI sebagai hadiah terbaik daripada kerajaan dalam meringankan beban kos sara hidup yang kian mencabar. 

Beliau berkata inisiatif itu bukan sahaja meningkatkan semangat pekerja, malah mendorong majikan lebih telus menjaga kebajikan.

“Selain meringankan beban, ia juga meningkatkan semangat kami sebagai pekerja untuk terus berkhidmat dengan jujur pada masa hadapan, manakala majikan pula lebih telus dalam menjaga kebajikan pekerja,” katanya. 

Di PAHANG, seorang pekerja swasta Hafiza Halimi, 35, berkata pelancaran Kad Pekerja MADANI dilihat sebagai antara inisiatif kerajaan menghargai golongan pekerja dan ia juga mampu meningkatkan kuasa beli pengguna selain merangsang pertumbuhan ekonomi negara. 

Sementara itu di TERENGGANU, Pengarah Kesatuan Sekerja negeri Rosli Zakaria berkata inisiatif itu jelas adalah strategi serampang dua mata kerana ia akan meringankan beban pekerja selain menyokong pengukuhan ekonomi pemain industri yang terlibat menawarkan diskaun.

“Bagi saya, ia situasi menang-menang, pekerja dapat menikmati diskaun dan meningkatkan produktiviti mereka manakala syarikat terlibat pula boleh memanfaatkan promosi, sekali gus meningkatkan hasil jualan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Di SELANGOR, Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri V Paparaidu yang senada dengan pendapat itu menyeru agar pekerja dan majikan berganding bahu menyahut hasrat Perdana Menteri untuk melonjakkan kemajuan negara.

Beliau menekankan kepentingan insentif yang mencukupi serta bimbingan motivasi bagi memastikan pekerja kekal bersemangat dan setia, sekali gus meningkatkan kualiti pengeluaran.

“Komitmen kedua-dua pihak boleh mencetuskan kesan domino seperti pengeluaran dan kualiti meningkat, pendapatan syarikat bertambah dan prestasi negara turut melonjak,” katanya.

Paparaidu turut menggesa majikan agar menilai semula pemberian imbuhan yang adil dan setimpal demi menjaga kebajikan serta maruah pekerja.

Terdahulu, Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa inisiatif itu memberi peluang kepada ahli kesatuan yang memiliki Kad Pekerja MADANI untuk menikmati diskaun bagi pelbagai kemudahan, dengan syarikat-syarikat yang mengambil bahagian termasuk AEON, Mydin, Jakel, Marrybrown, Genting, OldTown White Coffee, ZUS Coffee, SOCAR dan Bateriku.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan