KOTA BHARU, 21 Mac (Bernama) -- Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Kelantan mengenal pasti kewujudan syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan pencetakan tanpa memiliki Lesen Mesin Cetak.
Pengarah PK KDN Kelantan Muhammad Hafizu Mohd Bokhori berkata kegagalan memiliki lesen itu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
“Mengikut Seksyen 3(4) Akta 301, mana-mana individu yang menyimpan atau menggunakan mesin cetak tanpa lesen sah di bawah subseksyen (3) atau melanggar mana-mana syarat yang ditetapkan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Beliau berkata hasil pemantauan dan operasi PK KDN mendapati terdapat syarikat yang menjalankan perniagaan pencetakan tanpa memiliki lesen sah.
“Oleh itu, kami memohon kerjasama syarikat-syarikat percetakan yang masih belum memiliki Lesen Mesin Cetak untuk segera membuat permohonan melalui Sistem BLESS 1.0 bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta 301,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Hafizu berkata setakat ini 86 syarikat di Kelantan memiliki Lesen Mesin Cetak yang sah.
Beliau menegaskan bahawa PK KDN komited menjalankan tugas bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam termasuk pengawalan dan penguatkuasaan terhadap penggunaan mesin cetak serta penerbitan dalam negara.
“Langkah ini penting bagi mengelakkan penyebaran ideologi atau gerakan yang boleh mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat,” katanya.
Sebarang pertanyaan mengenai permohonan Lesen Mesin Cetak boleh dirujuk melalui laman sesawang rasmi KDN di www.moha.gov.my atau menghubungi talian 03-8886 8416 / 8886 3951 atau e-mel spl@moha.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial