SHAH ALAM, 12 April (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan bakal jemaah haji supaya mengawal perbelanjaan di Tanah Suci, terutama dalam situasi ekonomi dunia yang tidak menentu ketika ini.
Sultan Selangor bertitah supaya bakal jemaah haji menumpukan perhatian kepada ibadah dan bersabar dalam segala ujian, kepayahan serta dugaan yang akan dihadapi.
“Beta suka mengingatkan kepada jemaah perlunya menjaga kesihatan diri, tidak membazir, mengawal perbelanjaan serta berjimat cermat, terutama dalam situasi ekonomi dunia yang bergolak ketika ini.
“Tumpukanlah kepada ibadah yang wajib dilakukan dan kurangkan aktiviti membeli-belah serta berbelanja ketika berada di Tanah Suci,” titah baginda pada Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Peringkat Negeri Selangor bagi Musim Haji 1447H/2026M di sini hari ini.
Majlis yang dihadiri lebih 5,900 peserta itu berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut berpesan agar bakal jemaah haji menggunakan kemudahan yang disediakan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bagi kelancaran menunaikan rukun Islam kelima itu.
Sultan Sharafuddin turut bertitah mengingatkan bakal jemaah supaya tidak menggunakan agensi lain yang tidak diketahui latar belakangnya yang boleh menyebabkan mereka tertipu dan terperdaya.
Di samping itu, Sultan Selangor turut menasihatkan bakal jemaah supaya terus mengekalkan disiplin semasa berada di Tanah Suci dan menjaga nama baik Selangor serta Malaysia dengan mematuhi peraturan yang ditentukan oleh Kerajaan Arab Saudi.
“Bakal jemaah juga dinasihatkan supaya menghindarkan diri daripada terlibat dalam sebarang bantahan atau demonstrasi,” titah baginda
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan yang turut hadir pada majlis berkenaan, dalam ucapan menjunjung kasih menasihatkan para jemaah haji supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi segala arahan yang ditetapkan oleh TH susulan perkembangan geopolitik di rantau Asia Barat.
“Kerajaan Malaysia dan TH akan sentiasa memantau perkembangan semasa serta bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Arab Saudi bagi memastikan keselamatan serta kebajikan jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara.
Sementara itu, Zulkifli berkata Kursus Perdana Haji yang diadakan secara berperingkat di setiap negeri di seluruh negara bermula 3 April lepas bukan sahaja memberi penekanan pada aspek ibadah, malah menitikberatkan nilai disiplin, pengurusan masa serta kepatuhan kepada peraturan yang ditetapkan sepanjang berada di Tanah Suci.
Bagi tahun ini, lebih 8,000 jemaah haji dari Selangor dijangka menunaikan rukun Islam kelima itu secara berperingkat bermula 18 April hingga 20 Mei manakala penerbangan pulang dari Tanah Suci bermula dari 4 Jun hingga 30 Jun.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas disediakan untuk membawa keseluruhan 31,600 jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci tahun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial