PUTRAJAYA, 20 Feb (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) hari ini mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Exco-Exco Sumber Manusia Kerajaan Negeri (MEX KESUMA) dalam usaha memperkukuhkan koordinasi berkaitan isu sumber manusia.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata kementerian berkenaan berhasrat untuk mewujudkan satu platform perbincangan bersama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Beliau berkata pada masa sama ia juga menyelami dan memahami cabaran serta isu-isu sumber manusia di peringkat akar umbi, sekali gus mencari penyelesaian yang holistik dan inklusif.
“Mesyuarat pertama MEX KESUMA mahu memantapkan penyelarasan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dalam perancangan serta pelaksanaan program pembangunan sumber manusia.
“Selain itu, ia juga membincangkan isu-isu kritikal seperti pembangunan latihan kemahiran, penguatkuasaan hak pekerja dalam perundangan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, perhubungan perusahaan, kesatuan sekerja dan perlindungan sosial,” katanya kepada media selepas menghadiri mesyuarat berkenaan di sini hari ini.
Sim berkata MEX KESUMA juga bertujuan merangka strategi bersama untuk memastikan sumber manusia negara mampu bersaing dalam pasaran global yang dinamik.
Beliau menegaskan mesyuarat itu menjadi platform penting untuk memastikan dasar dan program berkaitan sumber manusia dilaksanakan secara seragam dan efektif di seluruh negara, sambil menyeru semua pihak bekerjasama dalam mencapai matlamat berkenaan.
“KESUMA berharap MEX KESUMA akan menjadi pemangkin kepada penyelesaian isu-isu sumber manusia secara holistik, seterusnya membawa manfaat kepada semua pihak termasuk pekerja, majikan dan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial