AM

Fahmi Ucap Takziah Kepada Keluarga Pelakon Sitkom Santan Berlada, Khairul Azhar

30/05/2025 12:51 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Khairul Azhar Abdul Samad atas pemergian pelakon sitkom popular, Santan Berlada malam tadi.

Melalui hantaran X hari ini, Fahmi menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Allahyarham yang pernah menceriakan rakyat Malaysia pada era 80-an menerusi sitkom popular itu yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM). 

“Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Santan Berlada merupakan antara sitkom kegemaran saya sewaktu masih di bangku sekolah rendah, sarat dengan lawak jenaka yang menghiburkan dan pastinya meninggalkan kenangan manis. 

“Terima kasih kerana pernah mewarnai hari kami. Takziah buat seluruh keluarga Allahyarham,” katanya yang mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman..

Allahyarham yang mencipta populariti menerusi sitkom Santan Berlada pada era 1980-an bersama gandingan Allahyarham Ali Mamak dan mendiang Acapan, meninggal dunia pada usia 70 tahun. 

Media sebelum ini melaporkan Allahyarham yang juga pesara pemain dram untuk kombo Majlis Perbandaran Klang (MPK) meninggal dunia di rumahnya di Taman Sri Andalas, Klang pada 10.37 malam tadi.

Difahamkan, Allahyarham ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta oleh pembantu peribadinya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan