AM

Jangan Buat Spekulasi Operasi Bersepadu Di Taman Negara Similajau

13/09/2024 10:18 PM

BINTULU, 13 Sept (Bernama) -- Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai operasi bersepadu yang dijalankan beberapa agensi penguatkuasaan di Taman Negara Similajau, di sini. 

Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dalam kenyataan memaklumkan terdapat spekulasi berbentuk hasutan dibuat oleh pihak tertentu yang menuduh kerajaan bertindak tanpa perikemanusiaan mengusir penduduk kampung di kawasan tersebut. 

SFC menjelaskan operasi itu yang diketuai SFC dan diselaraskan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Jabatan Peguam Besar Sarawak (SAGC) serta Pejabat Residen Bahagian Bintulu dan Pejabat Daerah Bintulu dilaksanakan berikutan isu pencerobohan Taman Negara Similajau Ext. 1 yang berlarutan sejak 2004. 

“Keadaan ini telah berlarutan sejak 2004 iaitu pada tahun tersebut berlakunya pencerobohan seperti pembalakan haram, penerokaan untuk tujuan pertanian, mendirikan struktur haram termasuk menetap dalam kawasan Taman Negara Similajau oleh warga asing yang menjadi pekerja kebun sawit diusahakan oleh peneroka haram.  

“Sepanjang tempoh 20 tahun itu, pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh pihak Jabatan Hutan Sarawak dan SFC dalam membanteras aktiviti pencerobohan,” menurut SFC.

Dalam pada itu, kenyataan itu memaklumkan operasi tersebut dilakukan setelah mendapat waran pengusiran daripada mahkamah untuk mengusir penceroboh yang menduduki taman negara berkenaan secara haram. 

Menurut SFC lagi tindakan pengusiran itu juga berpandukan bidang kuasa sedia ada menerusi Ordinan Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi 1998. 

“Tindakan memasuki Taman Negara tanpa kebenaran Pengawal Taman Negara dan Rizab Semula Jadi adalah satu kesalahan dalam ordinan tersebut,” menurut kenyataan itu. 

Taman Negara Similajau, yang terletak 28 kilometer dari Bintulu dan berkeluasan 7,064 hektar telah diwartakan pada 1976 manakala Taman Negara Similajau Ext. 1 diwartakan pada 17 Feb 2000 dan pada asalnya terletak dalam kawasan Hutan Simpan Similajau yang telah diwartakan pada 1 Dis 1959. 

Persempadanan Taman Negara Similajau telah dilaksanakan dan diperakui oleh Jabatan Tanah dan Survei pada 2018. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan