EKONOMI

BRICS TAWAR POTENSI PASARAN AMAT BESAR KEPADA MALAYSIA - PENGERUSI MATRADE

25/06/2024 10:01 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Malaysia dijangka dapat meningkatkan perdagangannya dengan negara-negara di bawah BRICS dengan memanfaatkan peluang ekonomi baharu yang ditawarkan perkumpulan itu, kata Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata populasi BRICS yang sangat ramai dengan pelbagai kumpulan pengguna yang meluas akan dapat diterjemahkan menjadi satu peluang pasaran yang lebih besar.

“Menyertai BRICS akan sangat membantu misi kami untuk meningkatkan eksport Malaysia dan juga membolehkan lebih banyak syarikat tempatan meneroka sempadan baharu di pasaran global.

“Ketika kita terus memberi sokongan kepada syarikat Malaysia yang berkebolehan di arena global, kita juga boleh mengukuhkan lagi frasa ‘Buatan Malaysia’ agar sinonim dengan kecemerlangan dan kebolehpercayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BRICS merupakan perkumpulan geo-politik terbesar dan paling berpengaruh yang diasaskan oleh Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan, yang membentuk akronim BRICS.

Reezal Merican berkata dengan menyertai BRICS, Malaysia juga boleh mempelbagaikan perdagangan sedia ada dengan negara-negara perkumpulan itu pada saat yang penting, memandangkan keupayaan Malaysia untuk menarik beberapa nama terbesar di dunia untuk melabur dan mengembangkan operasi mereka di sini.

“Kita mencatatkan kemajuan ketara dalam bidang digital, dengan pelaburan berbilion dolar daripada syarikat seperti Nvidia, Microsoft dan Google.Dan itu hanya satu sektor,” katanya.

Beliau berkata Malaysia diiktiraf di peringkat global sebagai hab semikonduktor.

“Baru-baru ini, kita menandatangani memorandum persefahaman dalam pelbagai bidang dengan China dan kita juga terus mengekalkan hubungan yang kukuh dengan India,” katanya.

Beliau juga berkata selain manfaat ekonomi, kerjasama lebih erat dengan BRICS akan memberi peluang untuk negara meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan yang seterusnya dapat membantu menambah baik pendapatan serta menawarkan peluang ekonomi lebih luas kepada rakyat Malaysia.

Di sebalik hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS, Reezal Merican memberi jaminan bahawa hubungan baik negara dengan negara-negara maju di Barat tidak akan berubah.

“Hakikat bahawa banyak syarikat utama Amerika Syarikat dan Eropah yang membuat pelaburan besar di negara ini, beserta hubungan rapat kita dengan negara di luar BRICS, adalah bukti komitmen kita untuk mewujudkan hubungan perdagangan yang sihat, beretika dan makmur dengan semua pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata ketika Malaysia bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan pengerusi ASEAN tahun depan serta dengan cadangan menyertai BRICS, "kami berharap dapat memimpin perbincangan dan meneroka lebih banyak peluang perdagangan untuk Malaysia dan Asia Tenggara."

“Hasrat kerajaan untuk sertai BRICS tepat pada masanya. Kini terserah kepada BRICS untuk memulakan hubungan ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan