POLITIK

PRK SG BAKAP: CALON PH, PN ‘BERTEMBUNG’ KETIKA SIBUK RAIH UNDI

25/06/2024 08:41 PM

NIBONG TEBAL, 25 Jun (Bernama) -- Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang memasuki hari keempat hari ini menyaksikan ‘pertembungan’ antara calon mewakili gabungan dua parti berseteru di Pasar Malam Puteri Gunong, di sini.

Calon Pakatan Harapan (PH) Dr Joohari Ariffin dan Naib Yang Dipertua PAS Nibong Tebal`, Abidin Ismail yang mewakili Perikatan Nasional (PN) dilihat bertemu apabila hadir bagi merayu undi masyarakat Sungai Bakap di pasar berkenaan.

Kedua-dua calon yang sibuk bertemu dengan pengundi termasuk peniaga dan pengunjung pasar tersebut, turut sempat berjabat tangan serta mengambil gambar bersama sebelum meneruskan sesi berkempen masing-masing pada jam  6 petang ini.

Joohari ketika ditemui pemberita menzahirkan perasaan seronok atas pengalaman yang menurutnya baharu apabila berjumpa dengan calon dan juga jentera PN.

“Kita okey je, kita berkawan dan bersaing secara sihat. Ketika bertemu (Abidin), saya beritahu kita fokus kepada isu masyarakat dan tidak perlu membawa isu provokasi,” katanya.

Sementara itu, Abidin yang menyifatkan pertembungan tersebut sebagai ‘luar jangka’ dan menerima positif pertemuan itu, berkata sambutan orang ramai juga khususnya kaum Tionghua dan India sepanjang kempen setakat ini dilihat sangat baik.

Beliau turut memaklumkan antara isu yang sering diterimanya sepanjang berkempen bertemu masyarakat adalah masalah gangguan lalat, justeru berjanji akan membawa isu itu kepada pihak berwajib sekiranya dipilih menjadi calon.

Joohari dan Abidin bersaing dalam pertandingan satu lawan satu pada PRK DUN Sungai Bakap, 6 Julai ini yang diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding Sabtu lepas hingga 11.59 malam, 5 Julai.

Kerusi DUN Sungai Bakap mempunyai 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan