AM

RWG, Visa Lancar Kempen "Vacation Vibes" Tawaran Eksklusif Untuk Pemegang Kad

10/07/2025 10:15 AM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Resorts World Genting (RWG) bekerjasama dengan Visa memperkenalkan kempen ‘Vacation Vibes’ yang direka khusus bagi memberi ganjaran kepada pemegang kad Visa melalui diskaun eksklusif untuk penginapan di hotel, pengalaman menjamu selera dan konsert terpilih di Arena of Stars.

Genting Malaysia Berhad dalam kenyataan memaklumkan kerjasama itu membuktikan komitmen RWG untuk sentiasa membawa perubahan dan memberi kepuasan kepada pelanggan sekali gus menjadikan   perjalanan pengembara kini lebih mudah, privasi dan menyeronokkan. 

“Melalui rangkaian global Visa yang dipercayai, tetamu kami kini boleh menikmati kemudahan tanpa sentuh, ganjaran masa nyata dan ketenangan fikiran, seterusnya membolehkan mereka memberi tumpuan kepada perkara yang lebih penting iaitu mencipta kenangan percutian tidak dapat dilupakan dan pengalaman luar biasa,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pemegang kad Visa boleh menikmati diskaun hingga 25 peratus bagi tempahan bilik di beberapa hotel popular di resort tersebut, termasuk Bilik Superior di Crockfords, Bilik Deluxe di Resort Hotel, serta bilik Quads dan Sixers di Genting SkyWorlds Hotel, bermula sejak 2 Mei lepas hingga 1 Nov ini.

Selain itu, diskaun 20 peratus untuk makan dan minum di restoran terpilih seperti Old Friends Restaurant, Harry Ramsden, High Line Roof Top Market dan Park Avenue Lounge, dengan perbelanjaan minimum RM200 dalam satu resit. Pelanggan yang membelanjakan RM500 di Burger & Lobster turut layak menerima ganjaran yang sama.

Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam RWG Spencer Lee dalam kenyataan sama berkata kerjasama itu mencerminkan komitmen RWG dalam menawarkan pengalaman menarik kepada pengunjung melalui perkongsian strategik yang membawa nilai tambah kepada setiap kunjungan. 

“Ia juga membolehkan kami menawarkan keistimewaan eksklusif dan pengalaman yang lancar kepada tetamu kami yang amat dihargai, memastikan mereka dapat menikmati percutian yang tidak akan dilupakan di Resorts World Genting,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Penjual Visa Malaysia Lim Gaik Lin berkata melalui kerjasama dengan satu daripada destinasi resort bersepadu terkemuka di Asia, pemegang kad visa dapat menikmati nilai luar biasa dan keistimewaan eksklusif apabila membuat pembayaran menggunakan Visa.

“Kami percaya kerjasama seperti ini memperlihatkan visi kami untuk menghubungkan pelanggan dengan pengalaman berharga sekali gus menunaikan janji kami dalam menawarkan perkhidmatan yang mudah, selamat dan menambah nilai dalam setiap transaksi,” katanya.

Dengan kira-kira 10,500 bilik di tujuh hotel yang berbeza, RWG merupakan destinasi resort bersepadu utama di Malaysia.

Resort ini turut menampilkan pelbagai fasiliti riadah dan hiburan termasuk permainan, taman tema dan tarikan hiburan, restoran dan rangkaian kedai, serta persembahan bertaraf antarabangsa dan kemudahan konvensyen perniagaan.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari rwgenting.com atau saluran media sosial rasmi RWG.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan