SUKAN

PARIS 2024: MAMPUKAH BEREGU LELAKI SEKALI LAGI BAWA 'TUAH' BUAT MALAYSIA?

25/06/2024 12:56 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Acara beregu lelaki boleh dikatakan ‘tuah’ buat Malaysia setelah membuka akaun pingat negara sejak penyertaan pertama di Olimpik Melbourne 1956, apabila gandingan adik-beradik Datuk Razif Sidek-Datuk Seri Jalani Sidek meraih gangsa ketika badminton dipertandingkan buat kali pertama di edisi Barcelona 1992. 

Beregu lelaki turut menyumbang pingat perak pertama menerusi Datuk Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock di edisi Atlanta 1996, selain pingat perak dari Goh V Shem-Tan Wee Kiong pada Rio 2016 dan gangsa menerusi Aaron Chia-Soh Wooi Yik di Tokyo 2020.

Mampukah beregu lelaki sekali kali mencipta sejarah dengan menyumbang emas sulung Malaysia di bumi Paris apabila temasya terbesar dunia itu berlangsung bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini?

Diletakkan sebagai antara harapan utama menamatkan penantian hampir tujuh dekad untuk emas sulung pastinya sesuatu yang memberikan tekanan tinggi kepada mana-mana atlet namun, bagi Aaron-Wooi Yik ia sesuatu yang sudah biasa bagi mereka.

Hadir dengan status satu-satunya wakil badminton negara yang pernah muncul juara dunia pada 2022 serta pemenang pingat gangsa pada Olimpik lepas di Tokyo, Wooi Yik berkata mereka tidak gusar dengan harapan tinggi yang disandarkan ke atas bahu mereka.

“Pastinya kita kena yakin dengan sasaran diri sendiri. Kita tidak selalu cakap, tetapi dalam hati memang inginkan emas. Jadi kena bekerja keras untuk mencapainya dan tidak mahu memberikan tekanan kepada diri sendiri. 

“Kita sendiri kena faham bahawa semua pemain beregu lelaki pun ada peluang tinggi, jadi kita hanya mahu yang terbaik untuk Olimpik ini. Tak nak tanggung bebanan besar, hanya mahu nikmati temasya Sukan Olimpik,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. 

Senada dengan beliau, Aaron berkata beregu lelaki sememangnya kategori yang sukar dijangka kerana persaingan sengit di antara wakil-wakil yang hadir, namun berharap latihan tambahan sebelah malam untuk memantapkan kemahiran dan teknik dapat membantu mereka.

Berkongsi mengenai pengalamannya ketika kali pertama beraksi di venue Olimpik, La Chapelle Arena di Terbuka Perancis Mac lalu, Aaron berkata kawasan itu antara tumpuan pelancong, yang harus berjaga-jaga.

Antara pencabar utama yang dijangka memberikan saingan sengit buat mereka adalah beregu nombor satu dunia dan juara Sukan Asia HangzhouLiang Wei Keng-Wang Chang yang telah meraih dua gelaran Jelajah Dunia Super 1000 di Terbuka Malaysia dan Terbuka Indonesia tahun ini, dengan Aaron-Wooi Yik hanya menang dua kali dalam lapan pertemuan antara mereka. 

Aaron-Wooi Yik, yang menduduki tangga kelima dunia, turut perlu mencari jawapan bagi corak permainan agresif dan ‘smash’ beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Shirag Chetty.

Biarpun memiliki kelebihan dalam rekod kemenangan 8-3 menentang Satwiksairaj-Chirag, namun Aaron-Wooi Yik harus berwaspada dengan aksi tangkas dan fizikal mereka, apabila tewas dalam tiga pertemuan terakhir, termasuk di separuh akhir Sukan Asia, September lepas.

Tidak lupa juga kehebatan beregu nombor empat dunia dari Korea Selatan Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae, yang merangkul kedua-dua gelaran Kejohanan Dunia dan Kejohanan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2023, dengan Aaron-Wooi Yik hanya menang sekali dalam empat pertemuan.

 

Profil:

 

Aaron Chia

Umur: 27

Asal: Batu Berendam, Melaka

Mula bermain badminton sejak: 4 tahun

Ketinggian: 168sm

 

Soh Wooi Yik

Umur: 26 tahun

Asal: Kuala Lumpur

Mula bermain badminton sejak: 4 tahun

Ketinggian: 185sm

 

Sebagai gandingan

-------------------------

Ranking semasa: nombor lima dunia

Ranking Tertinggi: nombor dua dunia (Nov 2023) Penampilan Olimpik: Kali kedua

 

Pencapaian: 

  1. Gangsa Olimpik Tokyo 2020
  2. Emas Kejohanan Dunia 2022 di Tokyo, Jepun
  3. Gangsa Kejohanan Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark
  4. Gangsa Sukan Asia Hangzhou 2022 di China
  5. Gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022 di England
  6. Juara Terbuka Denmark 2023 di Odense.

 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan