ANKARA, 13 Julai (Bernama-Anadolu) -- Presiden Iran Masoud Pezeshkian cedera ringan di bahagian kaki dalam satu serangan Israel yang menyasarkan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran bulan lepas, lapor Anadolu Ajansi yang memetik Agensi Berita Fars.
Menurut laporan yang disiarkan pada Sabtu, serangan peluru berpandu itu berlaku pada 17 Jun ketika pemimpin tertinggi Iran, termasuk ketua ketiga-tiga cabang kerajaan, sedang bermesyuarat di aras bawah sebuah bangunan yang dikawal ketat di barat Tehran.
Serangan itu melibatkan enam peluru berpandu yang mengenai pintu masuk dan keluar bangunan berkenaan, satu pendekatan yang disifatkan serupa dengan cubaan pembunuhan terhadap pemimpin Hizbullah Hassan Nasrallah, menurut laporan itu.
Pegawai-pegawai dilaporkan berjaya keluar melalui laluan kecemasan yang telah dirancang lebih awal, dan Pezeshkian “cedera semasa proses pemindahan namun berjaya keluar dengan selamat.”
Laporan itu turut menyebut pihak berkuasa Iran mengesyaki kemungkinan berlaku kebocoran maklumat dalaman, berdasarkan ketepatan serangan berkenaan.
Konflik bersenjata selama 12 hari antara Israel dan Iran tercetus pada 13 Jun selepas Tel Aviv melancarkan serangan udara ke atas tapak ketenteraan, nuklear dan awam Iran, mengorbankan sekurang-kurangnya 606 orang dan mencederakan 5,332 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Iran.
Konflik itu berakhir susulan satu gencatan senjata tajaan Amerika Syarikat yang berkuat kuasa pada 24 Jun.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial