AM

TUNTUTAN SULU, ISU 'DARK SIDE' DAN PROJEK LCS TUMPUAN HARI PERTAMA SIDANG DEWAN RAKYAT

24/06/2024 08:16 AM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Perkembangan kes tuntutan kumpulan Sulu, budaya dark side atau pelacuran dalam talian dan status terkini pembinaan kapal tempur Littoral Combatant Ship (LCS) kedua adalah antara tumpuan hari pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-15, hari ini.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat di portal Parlimen, soalan-soalan berkenaan akan diajukan pada sesi Soal Jawab Lisan persidangan Dewan Rakyat.

William Leong Jee Keen (PH-Selayang) meminta Perdana Menteri menyatakan status kemajuan terkini berkenaan dengan kes tuntutan kumpulan Sulu dan garis masa yang boleh diberikan sebelum kes itu boleh dirumuskan.

Sementara itu, soalan berkaitan peratus terkini pembinaan kapal LCS kedua serta jumlah bayaran telah diselesaikan Kementerian Pertahanan kepada Lumut Naval Shipyard (LUNAS) untuk kapal itu akan diajukan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) kepada Menteri Pertahanan.

Pada sesi sama, Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) bertanyakan soalan kepada Menteri Komunikasi mengenai perancangan kerajaan untuk membanteras budaya dark side di media sosial dan tindakan terhadap pengendali akaun yang menawarkan aktiviti pelacuran dalam talian seperti platform X dan Telegram.

Datuk Seri Richard Riot anak Jaem (GPS-Serian) pula meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan tindakan kementerian dalam mengawal masalah kenaikan harga keperluan asas.

Juga dalam sesi sama, persoalan mengenai hasrat kerajaan untuk menyemak semula dasar two-state solutions atau penyelesaian dua negara bagi mempertahankan kedaulatan rakyat Palestin di Gaza diajukan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) kepada Menteri Luar.

Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai ) meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan statistik bilangan taman asuhan kanak-kanak (taska) yang dikesan tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan tindakan penguatkuasaan terhadap taska berkenaan.

Usai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan pembentangan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pembubaran) 2024 dan Rang Undang-Undang Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (Pindaan) 2024 oleh Kementerian Pengangkutan.

Selain itu, turut tersenarai dalam aturan mesyuarat hari ini ialah usul daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk merujuk Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan susulan kenyataan Ahli Parlimen itu yang mendakwa ada individu kononnya bertindak bagi Kerajaan boleh memanipulasi membatal atau menggugur pertuduhan kes mahkamah terhadap wakil rakyat itu.

Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 akan berlangsung selama 15 hari sehingga 18 Julai ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan