KUCHING, 7 Julai (Bernama) -- Komposisi 82 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tidak lagi mencukupi untuk memenuhi keperluan yang semakin meningkat seiring dengan pertambahan penduduk di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) Chieng Jin Ek berkata komposisi sedia ada sudah lapuk kerana kali terakhir ia dikemas kini pada 2014.
“Permintaan daripada rakyat, beban kerja kawasan pilihan raya dan kerumitan dasar semuanya telah meningkat.
“Banyak ADUN, terutamanya yang mewakili kawasan besar atau padat penduduk berhadapan dengan beban kerja yang berlebihan dalam usaha mereka untuk berkhidmat kepada puluhan ribu pengundi yang di kawasan yang luas,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 di persidangan DUN Sarawak hari ini.
RUU itu yang dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan negeri Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, bertujuan menambah bilangan ADUN daripada 82 kepada 99.
Abdul Karim berkata pertambahan yang dicadangan itu bertujuan untuk mencerminkan perubahan demografi, perluasan kawasan bandar dan keperluan yang meningkat bagi wakil rakyat di seluruh negeri itu.
Sementara itu, Kennedy Chukpai Ugon (GPS-Murum) berkata pertambahan dalam kerusi DUN selaras dengan keluasan landskap geografi Sarawak, yang turut merangkumi kawasan luar bandar yang jarang penduduk.
“Selama ini, komuniti luar bandar menghadapi kesukaran untuk menyuarakan pandangan mereka dalam proses penggubalan undang-undang dan sering dibayangi oleh kawasan bandar yang lebih dominan,” katanya.
Christopher Gira Sambang (GPS-Tamin) berkata RUU itu mencerminkan prinsip pembangunan yang adil dan tadbir urus yang berkesan.
“Tambahan 17 kerusi DUN ini merupakan satu penyusunan semula yang penting terhadap struktur demokrasi kita. Saya amat berharap agar penambahan kerusi Parlimen bagi Sarawak juga akan dibentangkan di Dewan Rakyat dalam masa terdekat,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial