AM

RUANG KHEMAH SEMPIT DI MINA DI LUAR BIDANG KUASA TH - SYED SALLEH

22/06/2024 06:47 PM

MAKKAH, 22 Jun (Bernama) -- Ketua Rombongan Haji 1445H/2024 Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata isu keadaan khemah yang sempit semasa di Mina adalah di luar bidang kuasa Lembaga Tabung Haji (TH).

Beliau berkata ini kerana setiap negara telah diperuntuk dengan keluasan tanah tertentu berdasarkan jumlah kuota jemaah haji yang diberikan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Seperti yang kita sedia maklum, sempadan di Mina telah ditetapkan serta terhad dan itulah sempadannya. Sama ada nak letak keseluruhan jemaah sejuta, lima juta atau 10 juta orang itulah sahaja jumlah keluasannya di Mina.

“Keluasan tapak perkhemahan di Mina ditentu berdasarkan agihan Maktab oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, bukannya Tabung Haji. Kuota Malaysia ialah 31,600 jemaah haji sahaja dan telah diperuntuk dengan keluasan tertentu,” katanya ketika berucap pada majlis penghargaan 315 Sahabat Maktab di Ibu Pejabat TH di sini hari ini.

Syed Salleh berkata bagaimanapun, dalam usaha memberi keselesaan kepada jemaah haji, TH sentiasa melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa termasuk menyediakan pendingin hawa tambahan, permaidani lebih tebal dan memasang jubin seramik di tapak khemah.

Begitu juga dengan rungutan mengenai bilangan tandas yang terhad, katanya TH telah mengajukan permohonan untuk meningkatkan kemudahan itu namun kerajaan Arab Saudi memaklumkan jika ia ditambah, ruang khemah akan menjadi lebih kecil.

Beliau berkata justeru itu, TH akan mengemukakan cadangan untuk menambah bilangan tandas bertingkat yang ada ketika ini selain mengesyorkan khemah bertingkat.

Pada majlis itu, Syed Saleh turut merakamkan penghargaan kepada 315 Sahabat yang mewakili sembilan Maktab terdiri daripada tiga kategori iaitu Sahabat Hujjaj, Sahabat Ibadat dan Sahabat Medik yang telah memberikan khidmat secara sukarela tanpa sebarang imbuhan.

“Kami amat bersyukur selain mempunyai tenaga kekuatan petugas haji seramai 670 orang, kami berbesar hati dan gembira mempunyai tenaga kerja tambahan dalam kalangan Sahabat Maktab,” katanya.

  Beliau turut memuji sikap Sahabat Maktab yang melakukan tanggungjawab dengan penuh sabar ketika menyantuni jemaah serta dedikasi termasuk mengorbankan masa beribadat dan berdoa semasa wukuf di Arafah.

Syed Saleh turut melancarkan logo Sahabat Maktab yang pertama kali diperkenal pada 2006.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan