SHAH ALAM, 6 Julai (Bernama) -- Sebanyak 127 jemaah haji bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik masing-masing menerima bantuan RM1,000 menerusi permohonan Insentif Haji Muassasah 1446H/2025M, yang dibuka mulai 22 April hingga 25 Julai lepas.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik berkata insentif itu adalah kesinambungan usaha kerajaan negeri melalui Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI Selangor) kepada jemaah yang mengerjakan haji buat kali pertama.
“Program ini bertujuan meringankan beban kewangan jemaah yang pertama kali mengerjakan haji dan pada tahun ini kesemua penerima yang layak akan menerima RM1,000 berbanding RM500 pada tahun-tahun sebelumnya.
“Kesemua penerima pada hari ini telah disaring dan layak menerima sumbangan selepas membuat permohonan di Pejabat DUN Kota Anggerik sejak April lepas,” katanya selepas menyampaikan insentif kepada jemaah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di sini hari ini.
Kerajaan Selangor menerusi MBI Selangor memperuntukkan RM6 juta bagi insentif haji muassasah tahun ini.
Sementara itu, seorang daripada penerima Abu Hassan Darusman, 61, menyambut baik usaha kerajaan negeri kerana meringankan beban menanggung kos mengerjakan haji bagi dirinya bersama enam ahli keluarga yang lain.
Abu Hassan berkata sumbangan berkenaan dapat digunakan untuk pendidikan anak-anak di samping menampung perbelanjaan kos barangan asas untuk beberapa bulan ke hadapan.
“Permohonan ini dibuat oleh anak saya selepas mendapat makluman menerusi aplikasi WhatsApp beberapa bulan lepas, tidak lama kemudian kami dimaklumkan yang permohonan berkenaan telah diluluskan.
“Kami enam beranak layak menerima bantuan RM1,000 setiap seorang kerana berdaftar dengan DUN Kota Anggerik kecuali isteri saya yang berdaftar di DUN Rantau di Negeri Sembilan,” katanya.
Pada masa sama, Mohd Najwan memaklumkan pihaknya turut menyalurkan 10 bantuan kemasyarakatan berjumlah RM60,000 merangkumi individu, badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan penduduk di dalam kawasan Kota Anggerik yang aktif berbakti kepada komuniti setempat.
“Kebanyakan penerima untuk bantuan kemasyarakatan terdiri daripada persatuan penduduk yang aktif menganjurkan aktiviti setempat seperti gotong-royong dan kebajikan, bantuan ini diharap dapat membantu mereka bergerak lebih agresif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial