AM

LI QIANG DIBERI SAMBUTAN RASMI DI DATARAN PERDANA

19/06/2024 10:48 AM

PUTRAJAYA, 19 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri China Li Qiang, yang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia diberikan sambutan rasmi di Dataran Perdana, di sini hari ini.

Li, yang tiba di Malaysia semalam untuk kunjungan sulung beliau ke negara ini sejak menyandang jawatan itu pada Mac tahun lepas, disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejurus tiba pada pukul 9.30 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Li kemudian memeriksa barisan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Adibadiuezshah Ahmad.

Turut hadir pada majlis tersebut, kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, menteri kabinet, diplomat asing dan pegawai kanan kerajaan.

Li dan Anwar kemudiannya mengadakan pertemuan dua hala untuk membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala antara Malaysia dan China, serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.

Kedua-dua pemimpin itu juga akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman dan persetujuan dalam pelbagai bidang kerjasama termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau, pelancongan, perumahan dan pembangunan urbanisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta pengeksportan agrikomoditi ke China.

Li tiba di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 8.44 malam tadi.

Pada 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi 15 tahun berturut-turut sejak 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion (US$98.90 bilion).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan