AM

Penyelidik UTeM Antara 10 Saintis Muda Terpilih Ke Program Malaysia-China 2025

01/07/2026 07:31 PM

MELAKA, 1 Julai (Bernama) -- Penyelidik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Madya Dr Mohd Azli Salim menerima geran berjumlah RM72,000 selepas terpilih antara 10 saintis muda terbaik Malaysia dalam Program Malaysia-China Science and Technology People-to-People Exchange 2025.

UTeM memaklumkan Mohd Azli akan menjalani penempatan penyelidikan selama enam bulan di National Center of International Research for Hybrid Materials Technology, College of Materials Science and Engineering, Qingdao University, Shandong, China bermula 13 Julai ini hingga 8 Jan 2027.

Saintis itu akan menjalankan penyelidikan bertajuk 'Development and Characterisation of Graphene-Based Conductive Inks and Flexible Sensors for Wearable Applications' dalam bidang bahan termaju dan nanoteknologi.

"Penyelidik berkenaan telah menjalani temu duga bagi Program Malaysia-China Science and Technology People-to-People Exchange 2025 dianjurkan Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada akhir tahun lepas, dan keputusan kelayakan itu diperoleh Februari tahun ini.

"Beliau berjaya memperoleh tempat dalam program berprestij itu selepas melalui proses pemilihan ketat melibatkan penilaian kertas cadangan penyelidikan dan sesi temu duga bersama panel pakar daripada ASM, MOSTI serta wakil industri," menurut kenyataan UTeM hari ini.

Sementara itu, Mohd Azli berkata kajian berkenaan memberi fokus kepada pembangunan dakwat konduktif berasaskan graphene dan sensor fleksibel untuk aplikasi peranti boleh pakai (wearable devices), elektronik fleksibel, tekstil pintar serta Internet Benda (IoT).

Beliau berkata penyelidikan itu berpotensi menghasilkan teknologi baharu yang lebih fleksibel, tahan lasak dan mesra alam bagi memenuhi keperluan industri elektronik pada masa akan datang.

"Penyelidikan itu akan memberi tumpuan kepada pembangunan formulasi dakwat konduktif graphene yang mempunyai kekonduksian tinggi serta mampu beroperasi dalam keadaan lenturan dan regangan berulang.

“Selain penghasilan prototaip sensor fleksibel, kajian ini juga dijangka menghasilkan penerbitan jurnal berimpak tinggi, potensi pemfailan paten bersama serta membuka ruang kepada kerjasama penyelidikan strategik antara Malaysia dan China," katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata pemilihan Mohd Azli membuktikan keupayaan penyelidik universiti itu untuk bersaing dan mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

"UTeM amat berbangga dengan kejayaan Mohd Azli Salim dan pencapaian itu membuktikan kecemerlangan penyelidik UTeM dalam bidang teknologi termaju dan penyelidikan berimpak tinggi.

"Ia sekali gus mengukuhkan kedudukan UTeM sebagai institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan teknologi, yang aktif meneroka kerjasama penyelidikan global," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan