DUNIA

INDONESIA BINA BENTENG PASANG SURUT 3.6KM DI JAWA TENGAH TANGANI BANJIR

18/06/2024 08:42 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 18 Jun (Bernama) -- Indonesia sedang dalam proses pembinaan benteng pasang surut sepanjang 3.6 kilometer di Semarang, Jawa Tengah, dengan peruntukan 386 bilion rupiah atau kira-kira RM111 juta.

Terletak di kampung nelayan Tambak Lorok, projek itu bertujuan untuk mengurangkan banjir pasang surut dalam tempoh tiga dekad akan datang, menurut Presiden Joko Widodo.

"Benteng ini dijangka siap pada bulan Ogos. Kejayaannya berpotensi untuk membawa kepada projek serupa di kawasan pantai lain yang terdedah," katanya semasa lawatan tapak pada Selasa.

Menurut kenyataan Sekretariat Presiden, projek itu kini sudah 85 peratus siap dan dijangka selesai pada Ogos 2024, termasuk penyusunan semula kampung nelayan.

Projek itu merangkumi pembinaan tembok laut seluas 20 hektar dan dua kolam takungan untuk mengurangkan risiko banjir, bersama dua rumah pam yang mampu mengepam 3×500 liter sesaat setiap satu.

Dilaksanakan dalam dua fasa, inisiatif itu pada mulanya memastikan keselamatan limbungan kapal semasa fasa pertama (2016-2017).

Fasa kedua yang sedang berlangsung (2022-2024) bertujuan untuk melindungi kawasan kediaman, kemudahan sosial dan kemudahan awam di sekitar Tambak Lorok.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan