DUNIA

HUJAN LEBAT DI EL SALVADOR RAGUT 11 NYAWA, 880 TERPAKSA BERPINDAH

18/06/2024 11:14 AM

SAN SALVADOR, 18 Jun (Bernama-Xinhua) -- Hujan lebat yang melanda El Salvador sejak Jumaat telah meragut 11 nyawa manakala lebih 880 penduduk terpaksa berpindah, menurut Suruhanjaya Perlindungan Awam Negara pada Isnin.

Pengarah Sistem Perlindungan Awam Negara, Luis Alonso Amaya memberitahu sidang media bahawa tiga daripada mangsa merupakan kanak-kanak, lapor Xinhua.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Juan Carlos Bidegain berkata 117 pusat perlindungan sedia ada mampu menampung sehingga 6,400 orang.

Ketika ini, sebanyak 34 pusat perlindungan telah beroperasi, menyediakan tempat tinggal untuk 882 mangsa banjir termasuk 443 dewasa dan 439 kanak-kanak.

Dewan Perundangan mengisytiharkan darurat selama 15 hari pada Ahad, kata Bidegain.

Kerajaan tempatan memaklumkan sebanyak 42 kejadian tanah runtuh direkodkan setakat ini.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan