AM

22 SYARIKAT DIBERI NOTIS BERTULIS DALAM OPS KESAN 2.0 DI JOHOR

16/06/2024 02:28 PM

JOHOR BAHRU, 16 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) Johor mengeluarkan notis bertulis kepada 22 syarikat bagi memastikan tiada elemen pencatutan ke atas harga dan caj perkhidmatan dilakukan susulan penyasaran subsidi diesel.

Pengarah berkenaan Lilis Saslinda Pornomo berkata notis dikeluarkan susulan pemeriksaan dan aduan yang diterima menerusi Ops Kesan 2.0 yang dilaksanakan sejak 8 Jun lepas.

Beliau berkata sebanyak 20 notis bertulis dikeluarkan kepada syarikat yang berdaftar di bawah pelaksanaan Skim Kawalan Diesel Subsidi (SKDS), manakala dua lagi didapati tidak berdaftar dan tidak layak menerima subsidi bahan api itu.

"Dua notis bertulis terhadap dua syarikat tidak berdaftar di bawah SKDS itu merupakan syarikat yang menjalankan perkhidmatan menunda kenderaan dan syarikat perkhidmatan pengangkutan," katanya pada sidang media selepas Program Advokasi Peniaga dan Pemantauan Harga di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua syarikat tersebut perlu mengemukakan dokumentasi dan justifikasi ke atas kenaikan caj perkhidmatan selepas serahan notis dilakukan.

Lilis Saslinda berkata tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang didapati mengambil kesempatan dengan melakukan manipulasi harga dan caj perkhidmatan.

Tindakan boleh diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (Akta 724) serta boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 bagi perbadanan atau syarikat, manakala individu sehingga RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, tambah beliau.

Sementara itu, mengenai kesalahan tidak meletakkan tanda harga, Lilis Saslinda berkata pihaknya mendapati masih terdapat segelintir peniaga yang tidak berbuat demikian.

"Ada segelintir, tetapi sebab kita ada rekod di mana peniaga tersebut, jadi kalau kes berulang, tiada maaf lagi. Kita memang perlu tegas sebab perkara macam ini pada akhirnya yang menjadi mangsa adalah rakyat kita (pembeli),” katanya.

Justeru, beliau menasihati peniaga agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan daripada diambil tindakan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan