JENAYAH & MAHKAMAH

Kpdn Kedah Keluar 21 Notis Menerusi Ops Kesan 2.0

15/06/2024 07:18 PM

ALOR SETAR, 15 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara hidup (KPDN) Kedah, mengeluarkan 21 notis bertulis sepanjang Ops Kesan 2.0 yang berkuat kuasa sejak 8 Jun.

Pengarahnya Muhammad Nizam Jamaludin berkata notis dikeluarkan hasil pemeriksaan yang dijalankan terhadap 23 premis perniagaan, bagi mengenal pasti sama ada berlaku pencatutan susulan penyasaran subsidi diesel.

Beliau berkata notis bertulis dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat berkaitan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di premis terlibat, bagi memastikan tidak berlaku pencatutan dengan alasan pelarasan harga runcit diesel baharu di stesen minyak.

“Dua aduan disiasat melibatkan sebuah kedai ais batu di Tandop dan sebuah premis sewaan jentera berat di Sungai Petani, yang telah mengeluarkan memo kenaikan harga baharu di premis masing-masing.

“Pemeriksaan kita pada 12 Jun dan semalam dan notis dikeluarkan, pemilik diberi empat hari mengemukakan maklumat kenaikan tersebut untuk siasatan dan analisa,” katanya kepada Bernama ketika ditemui semasa menyertai Ops Kesan 2.0 di sini hari ini.

Muhammad Nizam berkata para peniaga diminta tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka dan KPDN akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang aktiviti pencatutan yang membebankan rakyat.

Beliau berkata tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang didapati memanipulasi harga dan cas perkhidmatan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Denda boleh dikenakan sehingga RM500,000 bagi syarikat, manakala individu sebanyak RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Tambah beliau sehingga kini 1,910 syarikat di Kedah, telah berdaftar dengan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 membabitkan lebih 5,800 buah kenderaan layak menerima subsidi diesel.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan