AM

JUALAN RAHMAH MADANI BANTU RAKYAT BUAT PERSEDIAAN SAMBUT AIDILADHA

15/06/2024 03:43 PM

KULAI, 15 Jun (Bernama) -- Penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI sempena Aidiladha di Bandar Indahpura di sini yang menawarkan barangan keperluan asas dengan harga diskaun sehingga 30 peratus, dapat membantu rakyat berjimat untuk menyambut perayaan itu.

Seorang pengunjung Abdul Jalil Matop, 58, berkata dia berpuas hati dengan program anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, yang menyediakan pelbagai barangan termasuk beras, ayam, daging dan telur pada harga berpatutan.

“Alhamdulillah, dari segi harga jualan, program ini memang bagus kerana kesemua barangan dijual dengan harga lebih murah berbanding di pasar raya atau kedai runcit.

“Perbelanjaan saya untuk barangan keperluan Aidiladha di program ini sangat menjimatkan sehingga 30 peratus. Saya harap program seperti ini lebih kerap diadakan, sekali gus mengurangkan beban rakyat,” kata pesara swasta itu kepada pemberita pada program tersebut hari ini.

Seorang lagi pengunjung Suhaida Mohd Said, 55, program itu menyediakan pelbagai barangan keperluan asas khususnya bahan mentah seperti ikan, ayam dan udang yang berkualiti.

Bagaimanapun, suri rumah itu berharap proses jualan bagi program berkenaan dapat ditambah baik pada masa depan, untuk memudahkan lebih ramai masyarakat mendapat manfaat daripada penganjurannya

“Saya berharap program seperti ini pada masa akan datang dapat diadakan di lokasi yang lebih luas, seperti dewan bandar raya bagi meningkatkan keselesaan orang ramai. Kaunter bayaran juga mungkin boleh ditambah untuk mengurangkan tempoh masa menunggu untuk membuat pembayaran,” katanya.

Sementara itu, Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata Program Jualan Rahmah MADANI sempena Aidiladha yang diadakan di lapan lokasi berasingan itu, bertujuan mengurangkan beban kos hidup golongan B40 dan miskin tegar.

“Sejak 15 Jan hingga 31 Mei, kita telah adakan sebanyak 233 program Jualan Rahmah bergerak termasuk 19 kali di lokasi terbuka seperti di Kulai ini,” katanya sambil menambah subsidi yang diberikan sepanjang penganjuran program berkenaan bernilai lebih RM2 juta.

Berhubung bekalan keperluan asas sempena Aidiladha, beliau berkata KPDN Johor memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku kekurangan bekalan tersebut.

“Disebabkan jaminan itu, KPDN tidak mengeluarkan skim kawalan harga sempena perayaan ini. Setakat ini, KPDN Johor tidak menerima sebarang aduan rasmi berhubung kekurangan bekalan keperluan Aidiladha, termasuk daging.

“Berdasarkan pemeriksaan, kita dapati bekalan keperluan adalah stabil berdasarkan keadaan semasa. Namun, jika berlaku kekurangan bekalan kami alu-alukan aduan rasmi daripada pengguna,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan