EKONOMI

ORIENTAL KOPI TERIMA SIJIL HALAL JAKIM

18/06/2024 05:16 PM

KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Rangkaian popular kopitiam tempatan Oriental Kopi menerima pengiktirafan halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengarah Urusan Oriental Kopi Datuk Calvin Chan menyifatkan pengiktirafan itu sebagai pencapaian yang bersejarah, sangat bermakna dan penting memandangkan permohonan sijil halal dalam industri makanan dan minuman amat mencabar. 

"Kami menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan sepanjang perjalanan ini. Walaupun kelihatan mudah untuk diucapkan, namun proses keseluruhan dari persiapan awal hingga setiap butir operasi harian adalah agak sukar.

"Kami tidak hanya perlu memenuhi piawaian keselamatan makanan dan kebersihan premis yang ketat, tetapi juga memahami dan menghormati nilai-nilai agama dan budaya yang terkandung dalam pensijilan halal," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Pengiktirafan halal itu diterima Oriental Kopi pada majlis yang diadakan di cawangannya di Suria KLCC.

Turut hadir Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib, Tengku Hishammuddin Zaizi, Ketua Pegawai Eksekutif HQC Commerce Sdn Bhd Datuk Khairul Shahril Hamzah dan Ketua Pegawai Operasinya Muhamad Khairi Kamarudin.

Chan berkata cawangan kopitiam itu yang telah menerima pengiktirafan halal daripada Jakim ialah di Suria KLCC serta Balai Ketibaan dan Pelepasan di KLIA2.

Selain itu, Chan berkata mereka menyasarkan untuk membuka 15 cawangan di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membolehkan lebih ramai pelanggan menikmati hidangan tempatan autentik di Oriental Kopi.

"Syarikat berhasrat membuka tujuh cawangan tambahan di seluruh negara termasuk di Gurney Plaza, Pulau Pinang dan Viva City Mall, Sarawak serta restoran pertama di luar negara iaitu di Singapura pada tahun ini," katanya.

Buat masa ini, Oriental Kopi yang ditubuhkan empat tahun lepas mempunyai 14 cawangan di seluruh Malaysia.

Oriental Kopi juga telah mengeluarkan 21 jenis produk halal sendiri antaranya kopi putih, kopi drip, kaya, mentega kacang dan sambal yang berjaya masuk ke pasar raya besar seperti AEON, AEON Big, Jaya Grocer, Village Grocer, Mercato, Giant dan Watsons.

Oriental Kopi juga jenama kopi pertama terpilih untuk dijual di Watsons.

"Pada bulan ini, kami berjaya mengeksport produk kopi putih kami ke Hong Kong dan kami berharap untuk mengeluarkan lebih banyak produk Oriental Kopi ke seluruh dunia pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan