DUNIA

BURSA MALAYSIA MENINGKAT SEMULA SUSULAN KEPUTUSAN FED, INFLASI AS REDA JANA MINAT BELIAN

13/06/2024 11:10 AM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia meningkat semula pada pagi Khamis apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) memutuskan kadar faedah dikekalkan, seperti dijangkakan banyak pihak, dalam keadaan data inflasi yang semakin menurun sekali gus meningkatkan minat risiko.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.81 mata kepada 1,612.76 daripada 1,608.95 ketika ditutup pada Rabu.

FBM KLCI dibuka 3.63 mata lebih tinggi kepada 1,612.58.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 346 berbanding 163, manakala 357 kaunter tidak berubah, 1,535 kaunter tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 367.88 juta unit bernilai RM234.62 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan Wall Street ditutup dengan kebanyakannya lebih tinggi apabila Nasdaq meningkat 1.53 peratus selepas Indeks Harga Pengguna (IHP) AS menunjukkan tekanan inflasi yang perlahan, sekali gus meningkatkan pembelian ke atas ekuiti.

“Walaupun Fed mengekalkan kadar faedah dan mungkin melakukan satu pengurangan kadar pada tahun ini, namun pasaran menjangkakan lebih banyak pengurangan kadar tahun ini disebabkan penurunan angka inflasi,” tambahnya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Biro Perangkaan Buruh AS melaporkan IHP susut kepada 3.3 peratus berasaskan tahunan pada Mei daripada 3.4 peratus pada April.

IHP teras tahunan AS, yang tidak termasuk harga makanan dan tenaga yang tidak menentu, meningkat 3.4 peratus, lebih rendah daripada 3.6 peratus yang dicatatkan pada April dan anggaran 3.5 peratus.

Perkembangan terbaharu itu turut meningkatkan pasaran minyak, dengan Brent didagangkan kembali dalam julat US$81 hingga US$84, satu prestasi baik untuk pengeluar minyak, dan bersedia untuk melonjakkan saham berkaitan sektor itu.

Di pasaran domestik, saham wajaran tinggi CIMB naik tujuh sen kepada RM6.96, Tenaga Nasional melonjak 12 sen kepada RM14, manakala Petronas Chemicals dan MISC masing-masing menambah enam sen kepada RM6.64 dan RM8.57 serta Public Bank menokok dua sen kepada RM4.08.

Bagi kaunter aktif, Agmo meningkat 11 sen kepada 74 sen, SNS Network menambah 1.5 sen kepada 89 sen, DNeX susut setengah sen kepada 49 sen dan MYEG naik tiga sen kepada RM1.12 manakala Revenue Group menokok setengah sen kepada 24 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 26.50 mata kepada 12,409.16, Indeks FBMT 100 menokok 26.81 mata kepada 11,980.27 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 18.19 mata kepada 12,772.03.

Indeks FBM 70 meningkat 34.74 mata kepada 18,168.20 dan Indeks FBM ACE melonjak 84.88 mata kepada 5,820.54.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 44.10 mata kepada 17,597.78; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.56 mata kepada 199.69 manakala Indeks Tenaga naik 4.34 mata kepada 983.64.

Indeks Perladangan susut 6.15 mata kepada 7,058.00.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan