DUNIA

HARGA MINYAK NAIK BERIKUTAN PERMINTAAN KUKUH, KETIDAKPASTIAN PEMOTONGAN KADAR FAEDAH AS

13/06/2024 12:29 AM

ANKARA, 12 Jun (Bernama-Anadolu) -- Harga minyak naik pada Rabu berikutan ramalan  permintaan yang kukuh di Amerika Syarikat (AS), pengguna minyak terbesar dunia, dan ketidakpastian berterusan mengenai bila pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS , lapor Anadolu.

Penanda aras antarabangsa, Brent Crude, diperdagangkan pada US$82.39 setong pada 10.43 pagi waktu tempatan (0743 GMT), meningkat 0.6 peratus daripada harga penutupan US$81.92 setong dalam sesi dagangan sebelumnya.

Penanda aras Amerika, West Texas Intermediate (WTI), diperdagangkan pada US$78.50 setong pada masa yang sama, meningkat 0.8 peratus daripada sesi sebelumnya yang ditutup pada US$77.90 setong.

Data yang dikeluarkan oleh Institut Petroleum Amerika (API) lewat Selasa menunjukkan penurunan sebanyak 2.42 juta tong dalam rizab minyak mentah AS, berbanding jangkaan pasaran penurunan sebanyak 1.75 juta tong.

Penurunan besar dalam inventori minyak mentah komersial menunjukkan permintaan yang semakin meningkat menyokong trajektori harga yang menaik.

Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) akan mengeluarkan data inventori rasmi pada lewat hari ini.

Sementara itu, isyarat bercampur-campur daripada data makroekonomi yang dikeluarkan di AS menimbulkan ketidakpastian mengenai bila Rizab Persekutuan AS akan mula memotong kadar faedah.

Kadar faedah rendah mengurangkan nilai dolar AS berbanding mata wang lain, tetapi ia juga menurunkan harga minyak, yang menjana permintaan yang lebih kuat dan menyokong kenaikan harga selanjutnya.

--BERNAMA-ANADOLU

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan