AM

PEMBEDAHAN DENGAN BANTUAN TEKNOLOGI ROBOTIK HASILKAN PROSEDUR LEBIH TEPAT, EFEKTIF

13/06/2024 08:54 AM

KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Pembedahan penggantian lutut dengan bantuan teknologi robotik adalah kemajuan teknologi terkini yang menampilkan ketepatan lebih baik dan prosedur amat efektif, sekali gus memberikan hasil rawatan yang lebih baik kepada pesakit.

Perunding Pembedahan Ortopedik dan Trauma, Artroplasti, Pakar Bedah Robotik di Pusat Perubatan Sunway, Sunway City (SMC) Dr Jeffrey Jaya Raj berkata salah tanggapan yang paling biasa mengenai pembedahan bantuan robotik ialah ia dikendalikan sepenuhnya oleh robot tanpa 'sentuhan manusia'.

“Jelas sekali - tidak. Kami sebagai pakar bedah mengawal segala-galanya, dari peringkat perancangan hingga arahan yang dimasukkan kedalam robot, dan kemudian robot itu akan membantu dalam pelaksanaan pembedahan.

“Ia juga akan terhenti secara automatik jika ia melepasi had haptik yang ditetapkan,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif baru-baru ini.

Beliau juga berkata bahawa pembedahan dibantu robotik mempunyai ketepatan yang jauh lebih tinggi dan kurang menyebabkan gangguan tisu lembut, berbanding kaedah pembedahan konvensional yang menyaksikan prosedur mengukur implan dibuat berdasarkan saiz kasar lutut pesakit.

Dr Jeffrey berkata ketepatan pembedahan dibantu robot membolehkan pakar bedah mereplikasi lutut pesakit berdasarkan morfologi lutut asal mereka.

“Kaedah konvensional agak berbeza sedikit kerana kami menggunakan tiga jenis jig dan stylus. Kadangkala ia boleh mengakibatkan sedikit variasi dalam mereplikasi lutut asal pesakit.

“Sebaliknya sistem robotik mempunyai mekanisme pengesahan berganda dan ia mengesahkan prosedur bersama dengan imbasan tomografi berkomputer (CT) yang disalurkan kepada perisian robot.

“Oleh itu sebarang tanda pada tulang atau morfologi disemak dua kali, dan disahkan oleh perisian itu sendiri, di sinilah datangnya ketepatan itu,” katanya.

Beliau menambah bahawa teknologi robotik adalah penting dalam memastikan lutut kekal seimbang selepas pembedahan supaya pesakit dapat berjalan lurus, bukannya lutut membengkok ke dalam atau ke luar.

“Setiap individu mempunyai saiz tulang yang berbeza, dan kami bentuk sepadan dengan implan, dan memotong tulang agar sepadan dengan bentuk implan.

“Teknologi robotik membuat pemotongan tepat. Matlamat kami adalah untuk menampilkan lutut yang seimbang, stabil dan tidak menyakitkan,” katanya.

Dr Jeffrey berkata walaupun mana-mana pesakit yang menghidap osteoarthritis lutut adalah calon yang sesuai untuk penggantian lutut robotik, namun dalam kes patah tulang pinggul seperti patah tulang pangkal femur, menjadikan rawatan segera diperlukan, dan sehubungan itu ia akan dijalankan secara bukan robotik.

Sementara itu beliau menyatakan jangkaannya untuk masa depan pembedahan yang dibantu robotik akan bertambah efisyen kerana teknologi terus berkembang untuk memberi manfaat kepada pesakit, boleh meningkatkan jangka hayat implan lutut di samping memendekkan tempoh rawatan di hospital.

“Kurang gangguan tisu lembut membawa kepada penyembuhan yang lebih cepat, kesakitan yang lebih rendah, hasil yang lebih baik dan tempoh rawatan di hospital yang lebih singkat.

"Kebanyakan pesakit yang menerima pembedahan dengan bantuan teknologi robotik boleh berjalan seawal hari berikutnya atau petang yang sama," katanya.

Baru-baru ini SMC telah menganjurkan demonstrasi secara langsung Infinite Precision, Infinite Possibilities: Robotik dalam Pembedahan Penggantian Sendi di sini.

Acara hibrid separuh hari itu dihadiri oleh lebih 360 peserta dan menampilkan pakar ortopedik robotik kami yang hebat termasuk Dr Jeffrey yang melakukan demonstrasi secara langsung.

Sesi itu mencetuskan perbincangan, menafikan sebarang mitos dan meningkatkan kesedaran tentang masa depan penjagaan ortopedik melalui prosedur robotik.

SMC telah melakukan lebih 2,400 pembedahan dengan teknologi ini, termasuk lebih 1,000 pembedahan penggantian sendi yang dibantu robotik, dengan pasukan 26 pakar bedah terlatih mengenai teknologi robotik yang berkemahiran tinggi daripada pelbagai disiplin.

  SMC adalah yang pertama di negara ini memasang Mako SmartRobotics dan Rosa Knee System. SMC juga merupakan yang pertama di negara ini yang melakukan penggantian pinggul robotik dua hala dengan Mako SmartRobotics pada 2021, dan juga yang pertama di Asia Tenggara yang melakukan penggantian lutut separa robotik dengan Sistem Lutut Rosa pada 2023

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan