AM

SURI RUMAH TANAM PADI DALAM PASU TARIK PERHATIAN TENGKU AMPUAN PAHANG

12/06/2024 12:58 PM

Oleh Nursyabiha Sukri

SEREMBAN, 12 Jun (Bernama) -- Seorang suri rumah dari Senawang tidak menyangka perkongsian tentang tanaman padi dalam pasu di halaman rumahnya menerusi TikTok pada penghujung Mei lepas, menarik perhatian Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Berkongsi kisah itu dengan Bernama, Siti Aai Shah Rahman Shah, 33, berkata dia menerima "direct message” (DM) daripada Tunku Azizah yang bertanyakan tentang kelengkapan untuk penanaman padi di dalam pasu, semasa bersiaran langsung di TikTok.

“Baginda meninggalkan beberapa soalan di ruang komen ketika saya sedang tunjukkan teknik menanam padi di dalam pasu. Antaranya, tuanku tanya di mana hendak beli rumah hijau dan saya syorkan rumah hijau yang saya guna.

“Memang tergamam bercampur teruja apabila terima DM tuanku itu,” katanya.

Menurut Siti Aai Shah lagi, dia sentiasa berkongsi perkembangan 50 pasu padi sawah dan sembilan pasu padi huma yang ditanam di halaman kediaman dua tingkatnya di Taman Lavender Heights, menerusi platform itu. 

Menurutnya, beberapa hari selepas itu, Tunku Azizah sekali lagi menghantar DM, memaklumkan yang baginda telah membeli 60 biji pasu serta rumah hijau yang disyorkan olehnya.

“Antara lain, baginda bertanya sama ada betulkah rumah hijau yang dibeli itu, selain kenapa di dalam rumah hijau tersebut berasa panas, dan saya berikan penjelasan kepada baginda,” kata Siti Aai Shah. 

Menurut ibu kepada lima anak itu, sebelum bergelar pencipta kandungan, dia pernah membuka kafe selain mengusahakan butik pakaian muslimah, namun tidak bertahan lama berikutan tekanan ekonomi akibat pandemik COVID-19. 

Kini mempunyai puluhan ribu pengikut di TikTok, Instagram dan Facebook, Siti Aai Shah berkata dia memulakan kegiatan “bertani” itu pada Januari lepas dengan menanam strawberi, dan keseronokan timbul selepas melihat tanamannya "menjadi".

"Sejak itu saya rasa seronok bergelar 'petani moden’ dan berkongsi ilmu dengan orang ramai,” katanya.

Tambahnya, setelah tanaman strawberi mengeluarkan hasil, dia mendapat permintaan daripada orang ramai untuk membeli anak pokok yang kemudian dijual pada harga RM15, selain turut menawarkan baja, benih dan racun serangga organik.

“Sebelum ini memang saya tanam strawberi tetapi tidak serius, Setelah menjadi suri rumah, saya mahu sibukkan diri dan fokus dengan menanam pokok ini. Saya lihat dalam tempoh tiga minggu pokok membesar dengan cepat dan membiak dari 10 pokok kepada 100 pokok pada Februari,” ujarnya.

Dia kemudian mengembangkan kegiatan itu kepada padi.

"Kos beli pasu, benih padi dan tanah hanya sekitar RM3 sepasu, manakala tempoh untuk tuai hasil adalah 90 hari. Penjagaan pula hanya perlu air, cahaya matahari dan baja,” katanya, menambah kesemua kelengkapan termasuk benih padi dibeli secara dalam talian.

Menurutnya, dia berjaya menuai 4.8 kilogram padi daripada 59 pasu berkenaan.

"Sekarang saya sedang tunggu mesin proses padi untuk dapatkan beras, dan ramai pengikut saya tidak sabar tunggu hasil,” ujarnya.

“Insya-Allah, apabila mesin itu sampai saya akan kongsikan perkembangan hasil beras itu nanti di TikTok,” katanya yang turut menjana pendapatan dengan mempromosi produk di platform dalam talian, iaitu di TikTok, Instagram dan Shopee. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan