KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Keputusan kerajaan meratifikasi Konvensyen C155 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) merupakan satu langkah bersejarah dalam menjaga kebajikan pekerja sekali gus mengangkat standard perburuhan negara ke peringkat lebih baik.
Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata pihaknya berpandangan langkah berkenaan juga membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam usaha menambah baik aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
“Ratifikasi ini menjadi kenyataan tidak sampai setahun Steven Sim dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia. Tahniah dan Syabas kepada beliau.
“Pastinya langkah terbaharu ini akan memberi suntikan usaha dan semangat dalam kalangan kesemua pemegang taruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dokumen ratifikasi Konvensyen C155 ILO itu diserahkan Sim kepada Ketua Pengarah ILO Gilbert F Houngbo semasa menghadiri Persidangan Buruh Antarabangsa ke-112 di Geneva, Switzerland, semalam.
Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan semalam memaklumkan langkah itu bakal menjadi pelengkap kepada pelaksanaan dasar dan perundangan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara susulan pindaan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) (Pindaan) 2022 (Akta A1648) berkuat kuasa 1 Jun lepas.
Ia juga menurut kementerian itu, diharap dapat membawa kepada peningkatan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja di seluruh negara
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial