Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 2 Jun (Bernama) -- Maldives, penyokong kuat Palestin memutuskan untuk melarang kemasukan pemegang pasport Israel ke negara itu.
Terdapat kemarahan awam yang semakin meningkat di negara kepulauan itu terhadap serangan genosid yang dilancarkan oleh rejim Zionis di wilayah Palestin yang diduduki, terutamanya terhadap penduduk Gaza sejak Oktober lepas.
Presiden Mohamed Muizzu dalam satu Mesyuarat Kabinet memutuskan untuk meminda undang-undang Maldives bagi mengharamkan individu yang memegang pasport Israel daripada memasuki negara itu, kata Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan Teknologi, Ali Ihsaan pada sidang akhbar yang diadakan di Pejabat Presiden pada petang Ahad.
"Keputusan ini menandakan pendirian proaktif Maldives, mencerminkan kecaman terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang ekstrem oleh Israel terhadap penduduk Palestin," lapor media negara itu PSM.
Satu jawatankuasa yang merangkumi Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Menteri Luar Moosa Zameer, Menteri Hal Ehwal Islam Mohamed Shaheem Ali Saeed, Menteri Pembangunan Ekonomi Mohamed Saeed dan Menteri Pelancongan Ibrahim Faisal akan mengawasi proses larangan berkenaan, kata laporan itu.
Kabinet juga memutuskan untuk memulakan perbincangan dengan negara-negara Islam bagi meningkatkan sokongan kepada Palestin dan melantik seorang utusan khas bagi menilai keperluan Palestin.
"Presiden juga memutuskan untuk menubuhkan kempen kutipan dana untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin dengan bantuan Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat dan mengadakan perhimpunan di seluruh negara dengan slogan 'Falastheenaa Eku Dhivehin,' yang bermaksud 'Rakyat Maldives Bersama Palestin' untuk menunjukkan sokongan," kata kenyataan kerajaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial