SEREMBAN, 31 Mei (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan merampas 3,000 liter minyak diesel disyaki bersubsidi dianggarkan bernilai RM6,450 di sebuah stesen minyak di Jalan Rasah di sini semalam.
Pengarah KPDN negeri Muhammad Zahir Mazlan berkata turut disita ialah sebuah lori dan tangki Bekas Pukal Perantaraan (IBC) berkapasiti 1,000 liter serta dua unit pam elektrik menjadikan keseluruhan nilai rampasan RM16,650.
“Hasil risikan empat anggota menerusi Op Tiris ini berjaya mengesan pergerakan mencurigakan sebuah lori jenama Nissan sedang mengisi minyak di stesen berkenaan.
“Susulan itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 45 tahun ditahan kerana disyaki berurusan dengan barang kawalan berjadual tanpa lesen atau permit yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata dua kertas siasatan dibuka terhadap pemandu lori dan pemilik stesen minyak untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial