PUTRAJAYA, 4 Jun (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) akan memuktamadkan senarai calon bagi 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam tempoh terdekat sebelum diumumkan seminggu menjelang hari penamaan calon, kata Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata langkah itu bagi memberikan ruang untuk menyelesaikan sebarang isu di kawasan tertentu lebih awal.
"Saya akan memuktamadkan senarai calon-calon BN untuk 56 kerusi DUN dalam tempoh yang paling singkat. Kita akan umumkan nama-nama calon itu, insya-Allah, seminggu sebelum hari penamaan calon.
“Ini untuk kita bentangkan bagi beberapa isu, jika ada, dapat diselesaikan lebih awal di DUN tertentu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata BN akan terus mengekalkan konsep WALI dalam pemilihan calon, iaitu winnable (boleh menang), acceptable (diterima) dan likeable (disukai), selain menampilkan gabungan muka lama dan baharu.
Selain itu, beliau berkata BN menampilkan gabungan antara pemegang jawatan sedia ada dengan muka-muka baharu bagi mewarnai bakat kepimpinan di Johor.
"Ertinya, tiga falsafah ini terus dikekalkan dan insya-Allah, kombinasi akan kita lakukan antara pemegang-pemegang jawatan yang ada dan juga muka-muka baharu. Kali ini muka-muka baharu akan turut mewarnai wajah-wajah bakat kepimpinan baharu di negeri Johor," katanya.
Mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Ahmad Zahid berkata BN kini dalam proses memperkukuh jentera sedia ada selain menggerakkan bantuan dari negeri-negeri lain.
Pada Isnin lepas, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor berkuat kuasa 1 Jun selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.
PRN Johor pada 2022 menyaksikan UMNO-Barisan Nasional menang 40 daripada 56 kerusi yang dipertanding diikuti Pakatan Harapan dengan 12 kerusi, Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA (satu).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial