SUKAN

KERAJAAN PERSEKUTUAN SALUR RM50 JUTA BAGI PENGANJURAN SUKMA, PARA SUKMA

30/05/2024 09:46 PM

KUCHING, 30 Mei (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Sarawak bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dan Para SUKMA.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata walaupun jumlah itu lebih rendah daripada RM100 juta yang dimohon negeri berkenaan sebelum ini, ia harus terus memandang ke hadapan serta menjadi tuan rumah yang baik.

“Kami cukup bertuah kerana Sarawak mendapat dana yang baik berbanding negeri lain. Kami tidak merungut mengenai isu itu kerana pada akhirnya apa yang lebih penting ialah kami mampu menjadi tuan rumah yang baik dan mempromosikan bidang sukan.

“Apa yang lebih penting bagi kami adalah limpahan daripada penganjuran SUKMA. Boleh anda bayangkan jika setiap individu yang hadir membelanjakan RM1,000 semasa acara itu? Manfaatnya amat besar kepada semua pihak dalam industri (dan ekonomi),” katanya kepada pemberita pada sidang media mengenai SUKMA di sini hari ini.

Temasya sukan itu bakal berlangsung di Sarawak dari 17 hingga 24 Ogos yang melibatkan sembilan bahagian iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri selain menyaksikan 37 jenis sukan dipertanding membabitkan 488 acara iaitu 236 bagi atlet lelaki, 217 bagi atlet wanita manakala 35 lagi campuran lelaki dan wanita selain menghimpunkan 12,619 atlet serta pegawai.

SUKMA, yang diperkenal pada 1986, sudah dua kali dianjurkan di Sarawak iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan