JASIN, 14 Julai (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengadakan perbincangan bagi mengehadkan jumlah guru untuk menyertai aktiviti luar sekolah, kata Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad.
Beliau berkata langkah itu diambil dalam usaha mengurangkan beban tugas pendidik yang sering dilibatkan dalam tugasan luar sekolah.
“Sebenarnya, satu hari berapa orang cikgu boleh pergi, tak ada (tiada di sekolah) untuk (menyertai) aktiviti-aktiviti ini pun kita akan berbincang,” kata selepas merasmikan Program Mahrajan Al-Quran Sekolah-Sekolah (MQSS) Kementerian Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2025 di Politeknik Merlimau di sini hari ini.
Khamis lepas, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilaporkan berkata kementerian itu menggariskan tujuh langkah bagi mengurangkan beban tugas guru termasuk memansuhkan acara tidak berimpak tinggi dan melantik orang awam sebagai pengawas peperiksaan.
Beliau berkata isu yang berpanjangan itu sememangnya menjadi fokus beliau sejak memulakan perkhidmatan di KPM dan memerlukan penyelesaian yang menyeluruh.
Mohd Azam berkata guru besar dan pengetua juga diminta untuk menyusun strategi dalam menyelaraskan aktiviti-aktiviti yang membabitkan guru agar lebih terkawal dan tidak menambah tanggungjawab sedia ada mereka.
“Saya fokuskan murid dan pelajar kita datang sekolah, mesti dapat hak mereka untuk belajar dan guru-guru tidak payah pening-pening kepala (untuk program bukan berimpak tinggi).
“Perkara lain yang tidak profesional dan tiada kaitan dengan aktiviti pembelajaran dan murid (boleh) tinggalkan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial