AM

JEMAAH HAJI DIINGATKAN JAGA KEBERSIHAN, KEKALKAN IMEJ BAIK NEGARA

30/05/2024 09:12 AM
Daripada Noor Shamsiah Mohamed @ Ismail

MAKKAH, 30 Mei (Bernama) -- Ketua Rombongan Haji Malaysia 1445H/2024 Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menyeru jemaah haji tahun ini supaya mengamalkan sifat menjaga kebersihan tidak kira di mana berada terutama ketika Masyair agar terus mengangkat imej baik negara.

Syed Saleh menyifatkan kebersihan maktab turut mencerminkan kemabruran haji seseorang sebagai tetamu Allah selain ia amat dituntut dalam agama kerana kebersihan merupakan sebahagian daripada iman.

“Hendak mendapatkan haji mabrur antara ciri yang kena jaga adalah aspek kebersihan kerana ia merupakan sebahagian daripada iman…ada yang nak mengejar haji mabrur sehingga mengerjakan umrah sunat berkali-kali, tetapi bab kebersihan tidak dijaga terutama di Masyair.

“Sebelum kempen kebersihan dilaksanakan oleh Tabung Haji, soal kebersihan agak kurang dititikberatkan oleh jemaah dan ada yang meninggalkan khemah dalam keadaan kurang enak dipandang. Namun setelah kempen ini dilaksanakan pada 2017, saya cukup bangga dengan sikap yang ditunjukkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada petugas media selepas melancarkan Program Kebersihan Maktab di Maktab 84, Hotel Diary Al Saad di sini. 

Turut hadir Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) Mohamed Hiekal Mohamed Yusuff dan Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr Abdul Marsudi Manah.

Syed Saleh berkata sejak kempen kebersihan diperluaskan ke maktab-maktab penginapan serta bilik jemaah haji pada 2018, tahap kebersihan yang ditunjukkan jemaah haji semakin baik sehingga mendapat pujian kerajaan Arab Saudi dan Malaysia menjadi satu-satunya negara yang melaksanakan kempen seperti itu.

Dalam pada itu beliau turut melancarkan Pertandingan Kebersihan Bilik melibatkan kategori jemaah lelaki dan wanita di setiap maktab dalam usaha untuk menerapkan bukan sahaja sifat menjaga kebersihan tetapi juga amalan gotong royong dan muafakat.

“Kita sedia maklum dalam setiap bilik ada lima hingga enam jemaah daripada pelbagai latar belakang dan tahap sosio ekonomi. Jadi dengan adanya program seperti ini kita harap dapat merapatkan lagi lagi silaturahim selain memupuk sifat kerjasama dalam kalangan jemaah,” katanya.

Pada majlis itu, jemaah yang hadir turut diperdengarkan dengan bacaan ayat suci al-Quran oleh johan qari Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa tahun lepas Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang merupakan orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan