AM

Anugerah Media Agrobank 2024, Bernama Rangkul Anugerah Laporan Berita Terbaik

30/05/2024 01:10 AM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) --  Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memenangi Anugerah Media Cetak dan Portal Berita (Laporan Berita Terbaik) pada majlis Anugerah Media Agrobank 2024 di sini malam ini.

Wartawan Biro Kelantan Mohd Noor Iqram Rosli menang anugerah tersebut menerusi berita ‘Program Agrobank Upward Migration Berjaya Bantu Peserta Tingkat Perniagaan’,  sekali gus membawa pulang trofi, sijil dan wang tunai RM5,000.

Wartawan Bernama Radio Siti Hashmar Hashim pula mendapat tempat kedua dalam Anugerah Media Radio Terbaik melalui program ‘Status Semasa Beras Negara’ dan membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta trofi.

Sementara itu, wartawan Meja Rencana Muhammad Basir Roslan  mendapat tempat ketiga dalam Anugerah Media Cetak Dan Portal Berita (Rencana) Terbaik menerusi artikel ‘Usahawan Tenusu Kongsi Kejayaan Dengan Modal Awal Seekor Lembu’, sekali gus membawa pulang wang tunai RM1,000 dan trofi.

Anugerah berkenaan disampaikan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin.

Berkongsi kegembiraan meraih anugerah tersebut, Mohd Noor Iqram berkata beliau tidak menyangka menjadi individu yang terpilih antara 130 pencalonan untuk merangkul tempat pertama.

“Pada awalnya saya hanya sekadar membuat liputan bersama Agrobank dan menemu ramah beberapa peserta yang menyertai program dianjurkan pada ketika itu. Ketika membuat liputan itu, ada kisah menarik daripada peserta, terus saya mendapat idea untuk meneruskan cerita mengenai peserta tersebut,” katanya.

Terdahulu Terdahulu Tengku Ahmad Badli Shah menerusi ucapannya berkata pihaknya berbesar hati untuk menerima pengiktirafan pihak media yang menghargai pembangunan sektor pertanian dan keterjaminan makanan.

“Ini (Majlis Anugerah Media 2024) juga merupakan satu usaha yang baik dalam memartabatkan bidang kewartawanan supaya ia dapat terus menghasilkan karya yang berkualiti dan memanfaatkan sektor pertarnian secara umumnya,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Mustapa Omar menzahirkan penghargaan kepada Agrobank kerana menaja majlis yang menghargai jasa wartawan dalam melaporkan berita.

"Kita berjaya dapat 130 penyertaan dalam enam kategori  dipertandingkan dengan juri berpendapat semuanya adalah cukup baik dan sukar untuk tentukan juara bagi setiap kategori,”katanya. 

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan