AM

Malaysia Tidak Terlepas Ancaman Ocsea Di Tengah Pergolakan Sosial

29/05/2024 08:49 PM

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Malaysia tidak terkecuali daripada risiko pergolakan sosial akibat penyalahgunaan secara berleluasa serta kekurangan peraturan kendiri penggunaan internet, menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada ancaman eksploitasi dan penderaan seksual kanak-kanak dalam talian (OCSEA), termasuk penstriman langsung penderaan kanak-kanak, pemerdagangan seks siber, pengantunan kanak-kanak dan pemerasan seks.

Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab menekankan bahawa OCSEA dijangka akan tersebar lebih luas dengan perkembangan teknologi global.

Peralihan teknologi ini telah meningkatkan pendedahan dalam talian mengenai mangsa dan meningkatkan keupayaan pesalah untuk berkongsi bahan OCSEA dengan selamat dan berkomunikasi tanpa nama dengan kanak-kanak dan pelaku lain dalam talian.

"OCSEA diramalkan akan meluas dengan perkembangan teknologi di seluruh dunia, yang telah menjana anjakan paradigma dalam pendedahan dalam talian mangsa dan keupayaan pesalah untuk berkongsi bahan OCSEA secara selamat dan berkomunikasi tanpa nama dengan kanak-kanak dan pelaku lain dalam talian," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.

Dalam memerangi isu ini, CyberSecurity Malaysia telah memulakan program Kesedaran Keselamatan Siber (CyberSAFE) untuk setiap orang yang mendidik dan meningkatkan kesedaran tentang isu teknologi dan sosial dihadapi pengguna internet terutamanya tentang bahaya semasa berada dalam talian.

"Melalui CyberSAFE, individu boleh menyebarkan maklumat, memahami kepentingan keselamatan siber, menyampaikan mesej tentang isu keselamatan siber semasa dan mendidik orang ramai, khususnya kumpulan sasaran, tentang amalan terbaik dalam penggunaan komputer dan internet yang beretika dan selamat," jelasnya.

Selain itu, CyberSecurity Malaysia turut mengadakan Ceramah Kesedaran Keselamatan Siber (CSAT) untuk pelbagai kumpulan umur dan demografi serta sektor awam dan swasta di seluruh negara untuk menyebarkan lagi kesedaran dan pengetahuan tentang keselamatan siber.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri mengumumkan kementeriannya menyasarkan untuk mengadakan program advokasi terhadap ancaman OCSEA di 300 sekolah di seluruh negara. Inisiatif ini adalah tindak balas terhadap peningkatan permintaan daripada persatuan ibu bapa dan guru untuk memperbanyakkan program sebegini.

"Program advokasi ini yang turut melibatkan pihak polis dan agensi lain di bawah kementerian itu adalah untuk mendidik kanak-kanak supaya mereka tahu apa yang perlu dilakukan dan apakah prosedurnya, serta membolehkan mereka mengetahui lebih lanjut mengenai pelbagai bentuk OCSEA," kata beliau pada sidang media semasa pelancaran buku ‘Building a Caring Society by Designing Joy’ yayasan YOKUK dan sambutan ulang tahun ke-25 yayasan tersebut.

"Kami sebolehnya tidak mahu mendedahkan mereka mengenainya, tetapi kami tiada pilihan memandangkan ancaman OCSEA semakin menjadi trend sejak beberapa tahun kebelakangan ini," tambahnya.

Menurut penyelidik dari Universiti Edinburgh, seperti yang dipetik oleh media antarabangsa, sekurang-kurangnya 300 juta kanak-kanak menjadi mangsa eksploitasi dan penderaan seksual secara dalam talian setiap tahun.

Anggaran global pertama krisis tersebut, yang diterbitkan baru-baru ini, mendapati bahawa satu daripada lapan (bersamaan dengan 12.6 peratus) kanak-kanak di dunia menjadi mangsa kepada pengambilan, perkongsian dan pendedahan kepada imej dan video seksual tanpa persetujuan sepanjang tahun lepas, melibatkan kira-kira 302 juta orang muda.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan