POLITIK

Mohd Ali Dilantik Semula Sebagai Ydp Melaka Bagi Penggal Kedua

28/05/2024 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka bagi penggal kedua, bermula 4 Jun 2024.

Istiadat pengurniaan itu berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara yang turut disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, Ketua Menteri Melaka Datuk Rauf Yusoh serta Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Wira Ibrahim Durum.

Mohd Ali, 75, sebelum ini dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ketujuh pada 4 Jun 2020 bagi menggantikan Tun Mohd Khalil Yaakob.

Beliau akan menjawat jawatan sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka bagi tempoh empat tahun.

Mohd Ali yan berkelulusan Ijazah Kepujian Sarjana Muda Kemasyarakatan (Ekonomi Pembangunan) dari Universiti Sains Malaysia (USM) pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Kesihatan dan Ahli Parlimen Batu Berendam sejak 1995 hingga 1999 dan Ketua Menteri Melaka Kesembilan dari 1999 hingga 2013.

Sementara itu, Ab Rauf Yusoh menerusi hantaran di Facebooknya hari ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Mohd Ali atas pelantikannya sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka bagi penggal ke-2.

"Saya bersama pimpinan negeri dan sekalian rakyat Melaka sentiasa berdoa semoga negeri dan rakyat Melaka yang berada di bawah naungan Tuan Yang Terutama Tun akan terus maju jaya serta dilimpahkan segala kerahmatan, keberkatan dan kesejahteraan jua hendak-Nya," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan