Oleh Aisha Hani Nor Azmir
KUALA LUMPUR, 28 Mei (Bernama) -- Setiap lapisan masyarakat perlu menjiwai lima prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara bagi memupuk perpaduan lebih erat dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini.
Ketua Pengarah Arkib Negara Malaysia Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman berkata segelintir masyarakat dilihat sekadar melafazkan ikrar Rukun Negara dan kurang memahami serta menghayati prinsip-prinsip berkenaan dalam kehidupan mereka.
Beliau berkata sebagai contoh, timbul polemik berkenaan penggunaan frasa ‘liberal’ yang sering dikaitkan dengan konotasi negatif dalam bahagian pertama Rukun Negara.
“Bila disebut tentang liberal (dalam prinsip Rukun Negara), masyarakat sekarang ini mengaitkan dengan gerakan yang datang daripada barat, sebenarnya liberal itu bukan macam lesbian, gay, dwiseksual dan transjantina (LGBT) dan sebagainya.
“Liberal itu merujuk kepada kebudayaan, sebab negara kita ini masyarakat pelbagai kaum, ada pelbagai pendekatan dan budaya yang perlu dihormati. Liberal itu maknanya boleh bertolak ansur dan boleh memahami, boleh mengelakkan pergeseran serta perselisihan faham dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada Bernama.
Jaafar Sidek berkata komponen akhir dalam bahagian pertama Rukun Negara iaitu membina masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden pula mencerminkan aspirasi negara dalam membentuk masyarakat yang mengikut langkah kemajuan sains di samping menghidupkan nilai-nilai ketuhanan.
Beliau berkata ini menunjukkan setiap bahagian yang termaktub dalam Rukun Negara adalah bersifat inklusif dan relevan sehingga hari ini walaupun ideologi negara itu dibentuk pada 70-an.
Justeru katanya masyarakat perlu sedar akan kepentingan menghayati falsafah kebangsaan dan sejarah di sebalik prinsip itu.
“Ada penyelidik yang datang membuat kajian apabila kita menguar-uarkan dan mempromosikan bahan itu kemudian (sesetengah bahan) juga boleh diakses secara dalam talian.
“(Perincian) bahagian pertama dan bahagian kedua Rukun Negara jadi mereka akan tahu termasuk jawatankuasa yang terlibat, nama jawatankuasa yang terlibat pada masa membangunkan Rukun Negara itu ada dalam Buku Rukun Negara sebagai panduan untuk kefahaman,” katanya.
Sehingga kini, Arkib Negara mempunyai 126 bahan berkaitan Rukun Negara terdiri daripada fail, rekod pandang dengar, surat khabar dan majalah, teks ucapan, bahan terbitan serta beberapa dokumen lain yang boleh diakses orang ramai bagi tujuan penyelidikan.
Sebagai usaha memupuk kefahaman mengenai Rukun Negara, beliau berkata Arkib Negara turut menerbitkan buku digital bertajuk ‘50 Fakta Rukun Negara’ sempena ulang tahun ke-50 ideologi kebangsaan itu pada 2020.
Jaafar Sidek berkata kandungan e-buku itu telah digarap secara dalaman dan mengambil kira pandangan tokoh akademik agar masyarakat faham Rukun Negara tidak direka-reka sebaliknya mempunyai fakta khusus yang dirujuk dalam pembentukannya.
Selain itu beliau berkata Arkib Negara sebagai agensi di bawah Kementerian Perpaduan Negara turut mengulang cetak buku Rukun Negara selain menjalin kerjasama dengan Komuniti Rukun Tetangga (KRT) dan kementerian lain termasuk Kementerian Pendidikan.
Katanya inisiatif ini bertujuan meningkatkan kefahaman pelajar dan orang ramai terhadap falsafah kebangsaan itu seterusnya ia dapat dihayati dan diamalkan sebagai prinsip untuk bertoleransi antara kaum.
Jaafar Sidek berkata penghayatan terhadap Rukun Negara secara keseluruhan juga berupaya menangani sentimen isu 3R (kaum, agama dan institusi Diraja) yang sering dimainkan pihak tidak bertanggungjawab.
“Rukun Negara ini termasuklah Kedaulatan Undang-Undang, Kesopanan dan Kesusilaan, walaupun kita lihat perkataan itu pendek tetapi kalau masyarakat boleh menghayati makna kesopanan ia tidak akan membuat ulasan-ulasan dengan bahasa kasar, berbentuk provokasi dan sebagainya,” katanya.
Rukun Negara yang diisytiharkan secara rasmi pada 31 Ogos 1970 dibentuk dengan matlamat utama membentuk perpaduan yang lebih kukuh dalam kalangan rakyat rentetan peristiwa hitam dalam sejarah negara pada 13 Mei 1969.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial