AM

Tmm2024: Melaka Rekod 5.12 Juta Pelancong Sehingga April

27/05/2024 10:33 AM

MELAKA, 27 Mei (Bernama) -- Sebanyak 5.12 juta pelancong direkodkan berkunjung ke Melaka dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata pencapaian itu sekali gus meletakkan Melaka mendahului negeri lain yang turut melaksanakan tahun melawat negeri pada tahun ini.

"Saya amat berbangga dengan pencapaian cemerlang ini... apapun, semua ini tidak akan berjaya tanpa sokongan yang tidak henti-henti daripada semua pihak terutama menyokong pelbagai tawaran dan produk pelancongan Melaka yang disediakan sempena TMM2024. 

"Pencapaian ini juga membuktikan kerjasama antara setiap jabatan dan agensi mahupun badan bukan kerajaan memainkan peranan yang signifikan untuk kita sama-sama merealisasikan hasrat kerajaan negeri," katanya di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran program Melaka Bila Larut Malam di hadapan bangunan Stadthuys di sini yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Ab Rauf berkata Melaka menjadi daya tarikan pelancong ekoran pelbagai produk pelancongan yang ditawarkan termasuk produk baharu sempena TMM2024 iaitu Melaka Bila Larut Malam yang akan bermula pada 1 Jun ini.

Beliau berkata program yang akan dilaksanakan pada setiap Sabtu minggu pertama setiap bulan bermula 11 malam hingga 2 pagi itu menawarkan harga tiket masuk serendah RM10 ke beberapa destinasi pelancongan di negeri itu, sepanjang tahun ini.

Destinasi pelancongan berkenaan termasuk Zoo Melaka, Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Panggung Bangsawan dan Muzium Penjara.

Sementara itu, beliau berkata peniaga kecil di sekitar kawasan pelancongan khususnya yang tidak mempunyai lesen disaran memohon daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing bagi membolehkan mereka beroperasi sehingga 3 pagi, sempena program Melaka Bila Larut Malam.

"Saya percaya, inisiatif ini akan memberi impak positif khususnya kepada pertumbuhan ekonomi negeri sekali gus memberi nilai tambah kepada peniaga kecil, dan trak makanan yang turut diberi peluang untuk berniaga sehingga awal pagi bagi meningkatkan pendapatan dan ekonomi mereka," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan