LABUAN, 9 Julai (Bernama) -- Berbaki 17 hari sebelum berlangsungnya Festival Flora Borneo, agensi Persekutuan dan tempatan giat memperhebat persiapan bagi memastikan kejayaan acara ini.
Perbadanan Labuan, Perbadanan Putrajaya, Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bekerjasama bagi persiapan untuk festival selama lima hari itu, yang bakal diserikan dengan kehadiran Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah pada 26 Julai di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Mohd Sukuran Taib berkata acara itu menampilkan lebih 29 taman bertema, masing-masing menonjolkan spesies tumbuhan eksotik dan terancam, landskap mini, serta pelbagai seni hiasan taman.
“Festival ini bertujuan menonjolkan kekayaan biodiversiti Borneo di samping mempromosikan pelancongan, merangsang aktiviti ekonomi dan meningkatkan kesedaran alam sekitar di pulau ini,” katanya kepada Bernama hari ini.
Presiden Perbadanan Putrajaya Datuk Fadlun Mak Ujud yang meninjau perkembangan persiapan berkata kerjasama keempat-empat agensi itu sangat penting memandangkan hanya berbaki kira-kira dua minggu untuk menyiapkan semua kerja landskap dan reka bentuk di lokasi acara.
“ ... kami yakin dapat menganjurkan acara bertaraf antarabangsa. Usaha promosi giat dijalankan bukan sahaja di seluruh Malaysia tetapi juga di Kalimantan dan Brunei,” katanya.
Fadlun turut yakin Festival Flora Borneo mampu mengulangi kejayaan Royal Floria Putrajaya, dan menjadikan ia sebagai acara tahunan utama Labuan.
“Kerajaan Sabah telah memberikan sokongan penuh, khususnya dalam memudahkan pergerakan membawa masuk dan keluar tumbuhan-tumbuhan untuk festival ini.
“Selain pameran flora, festival ini juga akan menampilkan kulinari, budaya dan kraf tangan Borneo, menawarkan pelbagai pengalaman kepada pengunjung,” katanya.
Fadlun berkata Festival Flora Borneo ialah satu inisiatif pelancongan utama Perbadanan Labuan di bawah usaha Wilayah Persekutuan untuk merancakkan semula ekonomi Labuan dan menjenamakannya sebagai destinasi ekopelancongan serta budaya terkemuka di rantau ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial