AM

PENGANJURAN HAWANA 2024 TERUS DAPAT PENGIKTIRAFAN WARTAWAN LUAR

26/05/2024 08:40 PM

Oleh Zaphne Philip

KUCHING, 26 Mei (Bernama) -- Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 mendapat pengiktirafan pengamal media luar sebagai hari terpenting untuk memperakui dan menghargai pengorbanan wartawan dalam menyampaikan informasi yang tepat dan relevan kepada masyarakat.

Presiden Press Council Timor Leste, Otelio Ote berkata wartawan sentiasa bekerja di bawah tekanan di samping berhadapan dengan pelbagai risiko ketika menjalankan tugas, dan pada masa yang sama perlu berintegriti dalam menyampaikan maklumat.

"Wartawan sebahagian daripada proses demokrasi, dengan semua orang boleh memperolehi infomasi serta kebebasan untuk berekspresi. Rakyat harus tahu bahawa tidak ada negara benar-benar mengamalkan demokrasi, tanpa adanya wartawan," katanya kepada Bernama.

Menurutnya konsep penganjuran HAWANA 2024 boleh diaplikasikan di negaranya dengan melibatkan penyertaan wartawan asing pada sambutan Hari Wartawan Timor Leste yang akan disambut pada 10 Oktober depan.

"Konsep penganjuran HAWANA di Malaysia ini menarik kerana turut melibatkan pameran serta pelbagai acara lain yang menarik bagi mendedahkan masyarakat tentang peranan setiap agensi-agensi media secara amnya," kata beliau, yang menjadi peserta satu forum yang berlangsung di sini sempena HAWANA.

Sementara itu Koresponden Agensi Berita Xinhua (China), Jonathan Edward berkata pengetahuan yang diperolehi dari program HAWANA 2024 itu membolehkan wartawan yang mengambil bahagian memperbaharui tujuan dan hala tuju kerjaya mereka.

“Industri kewartawanan terus mengharungi kerumitan era digital. Gambaran ini (yang ditekankan pada HAWANA 2024) tidak ternilai kepentingannya dalam membentuk masa depan (kewartawanan),” tambahnya.

Sementara itu Le Hang Linh dari Pertubuhan Berita Vietnam berkata menerusi HAWANA, masyarakat akan lebih memahami dan memandang tinggi profesion kewartawanan.

"Wartawan muncul daripada pelbagai latar belakang, dan Hari Wartawan Nasional ini bertambah penting menjadi sebagai hari penghargaan kepada sumbangan mereka, selain mengukuhkan asas kewartawanan, untuk menjadi lebih teguh dan inklusif,” tambahnya.

HAWANA 2024 turut disertai kira-kira 1,000 pengamal media dari 11 negara asing iaitu Kemboja, Indonesia, Jepun, Kuwait, Brunei, Filipina, Timor-Leste, Vietnam, China, Korea Selatan, dan Qatar.

Acara perhimpunan terbesar wartawan Malaysia itu dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Sarawak, dan Bernama sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan