AM

247 MENARA SMART DI SARAWAK SUDAH BERFUNGSI

24/05/2024 07:09 PM

KUCHING, 24 Mei (Bernama) -- Sebanyak 247 menara Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) berjaya diaktifkan dengan menggunakan teknologi Rangkaian Teras Pelbagai Pengendali (MOCN) setakat 15 Mei lepas.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata semua menara berkenaan melibatkan perkhidmatan daripada CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL.

Beliau berkata jumlah itu merupakan sebahagian daripada 600 menara telekomunikasi yang dirancang untuk dibina di Sarawak menerusi beberapa fasa peruntukan yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Kewangan (MOF) dan syarikat telekomunikasi.

"Dengan termeterai perjanjian hari ini, lebih cepat menara-menara ini akan berfungsi dan kemudahan ini akan dapat dimanfaatkan oleh rakyat Sarawak," katanya dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian SMART600 Multi Operator Core Network di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi.

Sementara itu, Fahmi berkata susulan perkembangan positif program SMART600 di Sarawak, kesemua pengendali rangkaian mudah alih bersetuju melaksanakan program sama di seluruh negara dengan perjanjian telah ditandatangani pada 9 Mei lepas. 

“Bagi kawasan lain dalam negara, kita mula dengan pembinaan lima menara dulu kerana ada aspek komersial perlu diteliti dan kita jangka dalam tempoh setahun tahun akan datang, ada 102 menara yang akan diutamakan dan selepas itu sejumlah lagi akan diusahakan telko-telko sendiri,” katanya.

Terdahulu, Fahmi menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) dengan CelcomDigi, Maxis, U Mobile dan YTL sebagai lonjakan signifikan ke arah meningkatkan keterhubungan digital di kawasan luar bandar Sarawak. 

Sementara itu, Julaihi berkata walaupun berdepan cabaran dari sudut topografi dan izin lalu, namun SDEC dapat membina secara fizikalnya 512 daripada 600 menara yang dirancang di Sarawak dan menyifatkan ia satu kejayaan membanggakan

“Pemasangan semua peralatan telekomunikasi sedang dibina  dan kita dapati bahawa 247 menara sudah menggunakan teknologi MOCN, manakala 308 menara sudah berfungsi menggunakan teknologi Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN),” katanya.

Sementara itu, MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan perjanjian itu menunjukkan kejayaan pertama di dunia melibatkan kerjasama enam pelbagai pengendali dalam menyediakan perkhidmatan telekomunikasi melibatkan CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL dan MySRBN.

Menurut MCMC, projek itu dianggarkan memberi manfaat kepada kira-kira 1,000 penempatan di kawasan pedalaman Sarawak dan melalui inisiatif ini, masyarakat akan menikmati liputan di mana sahaja tanpa mengira rangkaian syarikat mana yang mereka pilih.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan