AM

Hbn 2024 Jadi Pendorong Belia Cungkil Potensi Diri - Adam Adli

24/05/2024 01:11 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Sambutan Hari Belia Negara 2024 (HBN 2024) peringkat kebangsaan 2024 selama tiga hari bermula hari ini di Dataran Pahlawan, Melaka diharap menjadi pendorong kepada lebih ramai golongan belia untuk memperkembangkan potensi diri. 

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata penganjuran HBN 2024 itu merupakan usaha kerajaan mengiktiraf peranan serta mencungkil potensi golongan belia dalam pelbagai bidang. 

“Kita mahu golongan belia sedar kerajaan memandang tinggi (peranan dan potensi belia), maka (HBN 2024) ini sangat sesuai (untuk belia) meneroka diri mereka dengan keyakinan yang tinggi kerana pengiktirafan ini akan menjadi pemangkin semangat belia,” katanya ketika ditemui selepas  menghadiri program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menurutnya, dijadual merasmikan sambutan HBN 2024 bertemakan ‘Yakin Boleh’ esok dan akan menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) kepada penerima. 

Menurut Adam, lebih 30,000 pengunjung dijangka hadir pada sambutan HBN 2024 berbanding kehadiran 25,000 pengunjung pada sambutan HBN tahun lepas. 

“Kita hendak gandakan capaian dan jumlah kehadiran, insya-Allah saya harap sepanjang tiga hari HBN 2024, kita boleh capai sasaran tersebut. Dengan masa dan ruang yang kita ada,  kita (sediakan) banyak aktiviti untuk dikunjungi orang ramai,” katanya. 

HBN 2024 menyediakan 72 aktiviti menerusi 10 segmen gaya hidup di bawah jenama Rakan Muda merangkumi Rakan Aktif, Rakan Litar, Rakan Digital, Rakan Ekspresi, Rakan Demokrasi, Rakan Prihatin, Rakan Mahir, Rakan Niaga, Rakan Bumi dan Rakan Muzik.

Sementara itu, Adam yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, program Kembara RIUH x HBN 2024 turut diadakan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan diselaraskan oleh MyCreative Ventures Sdn Bhd.

Konsert RIUH x HBN 2024 tersebut akan dilaksanakan selama dua hari bermula esok,  menampilkan artis-artis tempatan seperti Hujan, Sekumpulan Orang Gila, Forceparkbois, Dolla, Bunga dan lain-lain. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan