AM

HAWANA: SMEC 2024 BINCANG 11 TOPIK MENGENAI EVOLUSI MEDIA

23/05/2024 08:49 PM

KUCHING, 23 Mei (Bernama) -- Persidangan Media Sarawak (SMeC) 2024 yang akan berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 akan membentangkan 11 topik, selaras dengan tema persidangan, "Evolusi Media dalam Era Digital".

Tujuh penceramah terkemuka akan menyampaikan topik berkenaan pada persidangan dua hari yang akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 26 Mei.

Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan SMeC 2024 akan dianjurkan bersama oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) dan KDJA, dengan sokongan Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak dan Business Events Sarawak.

Topik pertama ialah Balancing Act: Freedom of Expression vs Responsible Online Behaviour in Malaysia yang akan disampaikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diketuai oleh Ketua Jabatan Pusat Keselamatan Komunikasi MCMC Saidatul Ashikin Abu Hassan.

Pensyarah dari The London School of Economics and Political Science, United Kingdom Prof Charlie Beckett pula akan membentangkan tiga kertas kerja iaitu Building and Maintaining Trust and Confidence in the Media Amidst Digital Disruptions, AI For Good: How AI can Help Journalism and Media dan Real Life Examples of AI Applications in Journalism.

Sementara itu, Penasihat/Ketua Jurulatih Media dan Komunikasi Akademi Media Singapura Augustine Anthuvan akan berbicara mengenai Mobile Journalism: A Catalyst for Social Impact. 

Prof Madya Jaspal Kaur dari Canterbury Christ Church University, United Kingdom’s School of Law, Policing and Social Sciences akan membincangkan topik The Rise of Online Citizen/Netizen Journalism and its Challenge to the Journalism/Media Industry dan Legal And Ethical Questions Around AI in Journalism.

Munir Anaam daripada Malaysian Press Institute (MPI) pula akan membangkitkan isu Leveraging Social Media in Engagement with the Community/Public dan The Rise of Data Journalism and AI Tools.

Daripada perspektif Sarawak, Pengarah Urusan Borneo Adventure Malaysia Philip Yong akan mengupas tajuk Branding Sarawak in the Digital Age, manakala Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) Datuk Hii Chang Kee mengenai The Role of Media in Disseminating Public Information (Sarawak’s Perspective).

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol akan menyampaikan ucapan pada majlis penutup persidangan berkenaan.

Acara perhimpunan terbesar wartawan Malaysia dengan kira-kira 1,000 orang dijangka hadir, HAWANA 2024 dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sarawak, dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan