AM

TEKS UCAPAN PERDANA MENTERI PADA PERSIDANGAN ANTARABANGSA MENGENAI MASA DEPAN ASIA (PERSIDANGAN NIKKEI) DI JEPUN

23/05/2024 08:15 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Berikut adalah teks ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) di Tokyo, Jepun, hari ini

 

 

1. Izinkan saya untuk menyampaikan penghargaan kepada Nikkei atas penghormatan untuk menyampaikan ucaptama di hadapan perhimpunan yang mulia ini yang dihadiri para pemimpin industri, pemikir terkemuka, dan penggubal dasar. Saya sangat gembira dapat berkongsi beberapa pandangandi sini terkait tema, "Kepimpinan Asia dalam Dunia yang Tidak Menentu".

2. Mengimbau kembali Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Asia (Persidangan Nikkei) yang pertama hampir tiga dekad lalu, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) baru sahaja ditubuhkan, menandakan era yang mana asas globalisasi, multilateralisme, dan perdagangan antarabangsa yang lebih bebas kelihatannya tidak tergugat. Asia hanya menyumbang 28% daripada KDNK global walaupun isu geopolitik dan serantau menjadi semakin penting kepada dunia, namun Asia masih belum dilihat sebagai enjin pertumbuhan, tadbir urus, dan kerjasama global.

3. Tiga dekad kemudiannya, banyak yang telah berubah apabila enjin ekonomi global beralih ke Timur. Asia kini menyumbang lebih 35% daripada KDNK dunia dan menyumbang lebih banyak berbanding rantau lain kepada pertumbuhan sepanjang dekad yang lalu. Isu serantau Asia yang dahulu kini menjadi perhatian utama global.

4. Cabaran yang belum pernah terjadi sebelum ini sedang dihadapi oleh WTO dan globalisasi yang dahulunya standard multilateral dan kerjasama yang utuh kini dibayangi oleh arus peningkatan fahaman perlindungan dan perikatan tertutup. Perdagangan, pelaburan, dan perkongsian teknologi kini semakin diperalatkan oleh kuasa-kuasa besar dunia yang bersaing antara satu sama lain – yang memberikan kesan buruk kepada negara-negara membangun.

5. Walaupun banyak yang telah berubah, ada beberapa perkara tetap sama, seperti penumpuancabaran ekonomi global dan ketidaktentuan yang sentiasa menghantui. Kegelisahan mendalam yang menjangkaui sempadan dan jalinan sosial negara terus membarah manakala ketaksamaan ekonomi, perubahan teknologi yang pesat, dan kemerosotan alam sekitar terus mencemarkan masa depan kita bersama.

6. Namun, kita berdepan dengan cabaran baharu yang lebih hebat berbanding sebelum ini. Perubahan teknologi yang pesat dan teknologi kecerdasan buatan (AI) menjanjikan manfaat sosial yang amat besar dan tidak dapat dibayangkan, tetapi dalam masa yang sama mungkin juga akan membawa kepada jurang digital, sosial, dan ekonomi yang semakin melebar. Ini mungkin agak membimbangkan tetapi apa yang jelas: Peningkatan konflik bersenjata dan ketegangan geopolitik telahpun menjejaskan kerjasama antarabangsa serta komitmen global terhadap keamanan, hak asasi manusia, dan undang-undang antarabangsa.

7. Namun demikian, cabaran yang kelihatan sukar untuk diatasi ini mengajak kita untuk mencari dan membentuk semula visi kepimpinan Asia yang baharu. Dalam keadaan dunia yang semakin bergolak, dan perubahan arah ekonomi serta peralihan geopolitik yang boleh menggugat hala tuju kita, Asia mampu untuk mengawal keadaan. Tidak seperti tiga dekad lalu, Asia hari ini memiliki kekuatan ekonomi, kapasiti strategik, dan jalinan kerjasama kukuh yang diperlukan untuk menangani cabaran ini.

8. Malah, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Asia telah menunjukkan hasil positif yang boleh dicapai melalui kesalinghubungan, integrasi dan kerjasama, seperti perjanjian perdagangan mega serantau seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perkongsian Komprehensif dan Progresif bagi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). RCEP sahaja melibatkan hampir satu pertiga daripada eksport, populasi, dan KDNK dunia – menjadikannya blok perdagangan terbesar di dunia. Sementara itu, kemajuan Komuniti Ekonomi ASEAN terus berjalan lancar membolehkan ekonomi-ekonomi Asia Tenggara mengukuhkan integrasi ekonomi mereka, menyumbang kepada peranan rantau ini sebagai hab ekonomi yang dinamik dan terbuka.

9. Dengan Malaysia bakal menggalas kepengerusian ASEAN tahun depan, kami komited untuk terus memperjuangkan idealisme ini. Dalam bidang ekonomi, tumpuan pertama kami sudah pastinya adalah untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dalam kalangan negara anggota ASEAN. Pempelbagaian rantaian bekalan global dan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) baru-baru ini seharusnya mencipta manfaat yang ketara untuk pembangunan sambil mengurangkan ketaksamaan dalam negara-negara ASEAN. Keduanya, kami berhasrat untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dengan rakan-rakan kami dari seluruh dunia dalam memajukan kolaborasi teknologi dan amalan perdagangan yang mampan.

10. Ternyata bahawa penggubalan dasar ekonomi pada era 2020-an dan melangkaui darinya jelas sekali tidak dapat dipisahkan daripada pertimbangan cermat terhadap tiga megatrend global: geopolitik, digitalisasi, dan perubahan iklim. Oleh itu, Malaysia baru-baru ini memperkenalkan tiga kerangka dasar utama bagi menjamin prospek ekonomi yang lebih pasti, jelas dan telus.

11. Pertama sekali adalah kerangka Ekonomi Madani, yang merangkumi strategi untuk memacu pembangunan mampan dan inklusif. Teras utamanya adalah bukan hanya sekadar meningkatkan ambang pertumbuhan KDNK sebenar dalam julat 5.5-6% setiap tahun, tetapi juga meningkatkan kesaksamaan untuk memastikan hasil kemakmuran dikongsi secara adil dalam kalangan rakyat Malaysia.

12. Kerangka Ekonomi Madani hampir selari dengan dasar New Form of Capitalism Perdana Menteri Kishida, menyokong hubungan erat dan aspirasi bersama antara negara kita.

13. Dasar utama kedua yang Malaysia perkenalkan ialah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 yang merupakan pendekatan keseluruhan kerajaan terhadap dasar perindustrian. Kami komited untuk memulakannya segera dengan memanggil pihak berkepentingan daripada sektor awam dan swasta untuk merangka tindakan bagi sektor strategik tertentu, seperti semikonduktor dan keluli. Kejayaan pelaksanaan pelan ini akan membolehkan kami mencatatkan kemajuan seiring dengan kuasa besar ekonomi di rantau ini dan mempercepatkan lagi sasaran kami untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi menjelang akhir dekad ini.

14. Akhir sekali adalah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara yang merupakan strategi menyeluruh Malaysia untuk memastikan negara memenuhi komitmennya mencapai pelepasan sifar bersih karbon seawal tahun 2050. Ini akan memberi jaminan bahawa kami melaksanakan inisiatif kami menerusi kecekapan tenaga, tenaga boleh baharu, hidrogen, infrastruktur hijau dan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon untuk membina daya tahan iklim Malaysia.

15. Pelan tindakan strategik ini menunjukkan peranan Malaysia dalam membina kepimpinan Asia dalam domain ekonomi, digital dan kemampanan. Jelas sekali, ketidaktentuan di luar negara telah mengukuhkan keazaman kami untuk berpandangan lebih jauh dan menjadi proaktif demi mencapai dasar domestik yang jelas dan mewujudkan masa depan yang makmur untuk semua. ASEAN dan rakan-rakannya memikul tanggungjawab bersama untuk menjadikan rantau kami lebih dinamik, stabil dan boleh menyesuaikan dengan sebarang keadaan, dan Malaysia menyokong usaha ini dengan sepenuh hati.

16. Industri semikonduktor Malaysia yang rancak memperkukuh peranan kami sebagai rakan serantau yang diyakini dalam pembuatan, perdagangan dan inovasi. Malaysia mempunyai asas pembuatan yang teguh dan matang, terutamanya dalam industri elektronik dan elektrik global, sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar di dunia. Memandangkan ketegangan semakin memuncak di tempat-tempat lain, terutamanya dengan pengenaan sekatan perdagangan yang semakin sengit dalam cip mikro, pelabur di seluruh dunia mencari tempat yang selamat.

17. Saya berani mengatakan bahawa Malaysia memenuhi semua ciri-ciri ini, disokong oleh kestabilan kami, tenaga buruh mahir, dan ekonomi dan geopolitik yang tidak terikat kepada mana-mana pihak.

18. Kami meletakkan sasaran pada masa depan untuk meningkatkan tumpuan strategik kepada aktiviti seperti fabrikasi wafer, reka bentuk litar bersepadu dan pembungkusan canggih.

19.  Sejujurnya, ini tidak dapat dicapai tanpa Jepun dan rakan-rakan lain kami di rantau ini. Terpahat dalam ingatan kami ketika syarikat Jepun mula bertapak di Pulau Pinang pada tahun 1970-an, di mana syarikat-syarikat seperti Clarion dan Hitachi adalah sebahagian daripada "Lapan Samurai" - iaitu gelombang pertama pelaburan pembuatan E&E ke negara ini. Pelaburan FDI Jepun yang aktif telah menjadi faktor penting dalam kejayaan industri semikonduktor Malaysia, dan ini benar-benar berlaku hingga ke hari ini, dengan pelaburan berskala besar baru-baru ini daripada Kaga Electronics dan Ferrotec.

20. Dalam pada itu, Malaysia terus membangunkan keupayaan dalam sektor lain sejajar dengan trajektori kekompleksan ekonomi kami kepada kimia, aeroangkasa, farmaseutikal, peranti perubatan, ekonomi digital, kenderaan elektrik, bahan termaju dan industry asas tani. 

21. Selain itu, sebagai hab kewangan Islam dan pusat perdagangan halal yang terpenting dunia, Malaysia mengukuhkan kedudukannya sebagai ekonomi Islam utama bagi tahun kesembilan berturut-turut, menyediakan perkhidmatan yang meluas, sebagai jambatan antara Asia Timur dan Afrika Utara.

22. Keterbukaan Malaysia terhadap perdagangan dan pelaburan dalam pembuatan, perkhidmatan dan sektor utama dibuktikan menerusi prestasi FDI tahun lalu, yang mana negara berjaya menarik RM188 bilion dari segi pelaburan asing yang diluluskan, lonjakan 15 peratus berbanding tahun 2022.

Tuan-tuan dan puan-puan,

23. Tahun lepas, Perdana Menteri Kishida dan saya menghadiri dua mesyuarat sidang kemuncak pada November dan Disember, mencapai matlamat dalam meningkatkan hubungan dua hala kami kepada Perkongsian Strategik Komprehensif. Kami turut memperluas kerjasama kami dalam bidang keselamatan, bekerjasama dalam keselamatan maritim. Secara kesimpulannya, Jepun dan Malaysia berkongsi visi yang sama untuk masa depan Asia berlandaskan kestabilan, kesalinghubungan dan kerjasama dalam menyokong pengaturan berasaskan peraturan, dan saya yakin hubungan kita akan berkembang kian kukuh mulai sekarang.

24. Dalam muhasabah keadaan rantau ini dan dunia, saya tertarik dengan petikan daripada The Book of Tea karya Okakura Kakuzō iaitu: “The art of life lies in a constant readjustment to our surroundings” (Seni kehidupan terletak pada penyesuaian semula yang berterusan kepada persekitaran kita).

25. Menurut keterangan yang boleh dipercayai, konsep Kakuzo das-in-der-Welt-sein (keberadaan di dalam dunia) yang dinyatakan dalam buku yang menjadi fenomena ini, yang diterbitkan pada 1906, sebenarnya telah menginspirasi karya agung Martin Heidegger -- Sein und Zeit (Kewujudan dan Masa), yang hanya diterbitkan pada 1927. Dianggap sebagai antara ahli falsafah yang paling penting dan berpengaruh pada abad ke-20, Heidegger, sudah pasti, tidak pernah menyebut atau mengakui hutang intelektual yang besar ini.

26. Memang, saya agak menyimpang sedikit dari topik asal, namun, perkara utama mengenai ungkapan Kakuzō' di sini adalah, seni kepimpinan dan tadbir urus menuntut kita menyesuaikan diri dengan peralihan dinamik kuasa ekonomi, politik, sosial, dan budaya global pada zaman kita.

27. Dalam mencapai perkara ini, Malaysia akan kekal komited untuk memupuk pertumbuhan bersama, memperkukuh kerjasama serantau, dan mengekalkan keterbukaan kami kepada perdagangan, pembangunan dan perniagaan.

28. Kepada negara-negara rakan Asia kami, saya menghulurkan salam solidariti, ikrar sokongan,dan pelawaan terbuka untuk bekerjasama. Kita mesti saling bersatu, tidak membenarkan kuasa luar atau persaingan yang tersembunyi dan berbahaya menghalang kita daripada mencapai matlamat yang lebih besar, iaitu Asia yang aman, stabil, dan makmur.

Terima Kasih

--BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan