AM

ANWAR TIBA DI JEPUN UNTUK LAWATAN KERJA TIGA HARI

22/05/2024 08:39 PM

Daripada Noor Soraya Mohammad Jamal

TOKYO, 22 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini untuk lawatan kerja tiga hari di Jepun.

Pesawat khas yang membawa Anwar mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda pada kira-kira pukul 9 malam waktu tempatan (8 malam waktu Malaysia).

Antara yang mengiringi Perdana Menteri dalam lawatannya ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.

Naib Menteri Luar Parlimen Jepun Yasushi Hosaka dan Duta Besar Jepun ke Malaysia Katsuhiko Takahashi berada di lapangan terbang bagi menyambut ketibaan Perdana Menteri. Turut hadir, Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abd Ghany.

Perdana Menteri yang berada di sini bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Mengenai Masa Depan Asia ke-29 (Persidangan Nikkei), turut dijadual bertemu dengan rakan sejawatannya dari Jepun Fumio Kishida untuk mesyuarat dua hala, dan beliau juga dijadualkan mengadakan beberapa pertemuan dengan kapten industri tempatan, pelajar dan ahli akademik.

Jepun merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia selama sembilan tahun berturut-turut. Tahun lepas jumlah perdagangan antara Malaysia dan Jepun bernilai RM156.64 bilion (US$34.39 bilion).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan