SUKAN

BIARPUN TEWAS, KDN FC TETAP TUNJUK PENINGKATAN - REZAL ZAMBERY

16/06/2024 12:17 PM

ISKANDAR PUTERI, 16 Jun (Bernama) -- Biarpun tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) namun penolong ketua jurulatih pasukan Kelantan Darul Naim (KDN FC) Rezal Zambery Yahya berpuas hati dengan prestasi anak buahnya pada aksi Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam tadi.

Beliau berkata barisan pemain menunjukkan peningkatan dan mengekalkan mentaliti melawan sehingga memaksa tuan rumah bekerja keras untuk mencari gol pada babak pertama.

"Pada saya memang pemain sudah menunjukkan prestasi yang boleh dikatakan mencapai apa yang kita mahukan. Dalam separuh masa pertama memang kita cuba mengekang jika JDT datang menyerang.

"Dalam separuh masa kedua  bila kita terus bertahan, kita cepat sangat kehilangan bola...itu menambah tekanan di bahagian pertahanan dan selepas itu kita dihukum dengan dua sepakan penalti. Ia agak sukar untuk kita bangkit apabila bahagian serangan tidak beraksi seperti mana yang kita rancangkan,” katanya pada sidang media selepas perlawanan semalam.

Rezal Zambery mengakui beberapa penambahbaikan perlu dilakukan bagi meningkatkan bahagian serangan KDN pada perlawanan berikutnya.

"Saya rasa sekarang ini kita fokus pada bahagian serangan, maksudnya pergerakan keseluruhan pasukan...kita akan lebih fokus pada serangan, jana bentuk serangan dan apa yang penting pada kita adalah cipta seberapa banyak peluang (serangan),” katanya.

Perlawanan malam tadi menyaksikan KDN tunduk 0-4 kepada JDT dan gol kemenangan tuan rumah diperoleh menerusi Fernando Forestieri, Romel  Morales Francisco Geraldes dan  Arif Aiman.

Sementara itu, ketua jurulatih JDT Hector Bidoglio berkata mengakui KDN bermain dengan baik dan sukar dibolosi mereka.

"Ia perlawanan yang sukar, terutama di separuh masa pertama, pasukan lawan bermain bagus dan sukar untuk kita mencari ruang untuk menendang bola masuk kita tetap berjaya juga menembusi gol mereka.

"Separuh masa kedua adalah berbeza kerana dari segi dinamik permainan kita telah perbaiki dengan kita menggerakkan bola dari sisi ke sisi dan kami menyerang dengan baik jadi secara keseluruhan saya berpuas hati persembahan mereka hari ini,” katanya.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan