DUNIA

Sami Dari 4 Negara Selesaikan Perjalanan Ziarah Thudong Di Candi Borobudur, Sempena Hari Wesak

22/05/2024 07:41 PM

YOGYAKARTA, 22 Mei (Bernama) -- Sekumpulan 40 sami dari Thailand, Singapura Malaysia dan Indonesia  berjaya menyelesaikan perjalanan ziarah Thudong mereka yang berakhir di Candi Borobudur, di sini pada Isnin sebagai penghormatan spiritual kepada sambutan Hari Wesak.

Antara para sami yang menyertainya ialah Bhante Chuan, seorang sami berusia 67 tahun berasal dari Johor Bahru.

Sami-sami berkenaan menyelesaikan perjalanan sejauh 60 kilometer dengan berjalan kaki sepanjang laluan dari Kuil Buddha Jayanti Wungkal Kasap di Semarang ke Kompleks Candi  Borobudur di Magelang.

Bhante Chuan berkata bahawa perjalanan ziarah Thudong adalah pengalaman spiritual yang mendalam dan merupakan bukti komitmen mereka kepada jalan pencerahan.

“Di mana sahaja kami pergi, ada orang yang mengikuti jalan kami dan kami gembira," katanya kepada media ketika ditemui di Candi Borobudur baru-baru ini.

"Bhante saya dari Singapura berkata di mana sahaja mereka pergi, mereka disambut mesra oleh penduduk tempatan semasa ziarah mereka dan di kuil tempatan, malah kesakitan berjalan pun hilang," katanya lagi.

Pengerusi Thudong 2024, Bhante Kamsai Sumano Mahathera, berkata ziarah mereka mungkin telah berakhir, tetapi perjalanan spiritual mereka masih berterusan.

Thudong adalah satu ritual yang dilakukan oleh para Bhante (sami Buddha) dengan berjalan jarak jauh -- kadangkala hingga 1,000 kilometer, untuk mencontohi Buddha.

Thudong tahun ini membawa tema "Perjalanan dengan Kesedaran Kepelbagaian untuk Kehidupan yang Mulia, Harmoni dan Bahagia".

Hari Wesak, yang disambut oleh penganut Buddha di seluruh dunia untuk menghormati kelahiran, pencerahan dan pemergian Gautama Buddha, memberikan latar belakang yang penuh makna untuk usaha spiritual ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan