EKONOMI

Majlis Anugerah Bea Ke-5 Bmcc Rai Pencapaian Cemerlang Syarikat Uk-malaysia

22/05/2024 04:19 PM

SUBANG JAYA, 22 Mei (Bernama) -- Anugerah Kecemerlangan Perniagaan (BEA) kelima  2024, yang dihoskan oleh Dewan Perniagaan British Malaysia (BMCC) meraikan pencapaian cemerlang syarikat dari United Kingdom (UK) dan Malaysia dalam tujuh kategori.

Dalam kalangan 48 calon, Smith & Nephew Operations Sdn Bhd, pengeluar peralatan perubatan dari Malaysia, menerima Anugerah Perniagaan Terbaik UK-Malaysia bagi amalan mampan dan penyediaan global produk ortopedik berkualitinya.

Manakala AstraZeneca Sdn Bhd, syarikat farmaseutikal dari UK, meraih Anugerah Perkongsian Terbaik UK-Malaysia bagi kerjasamanya dengan Clinical Research Malaysia, yang merangkumi ujian klinikal, mesyuarat tadbir urus dan lawatan tapak.

Ini merupakan kemenangan kedua berturut-turut bagi syarikat itu dalam kategori tersebut apabila turut memenanginya pada 2022.

Pengerusi BMCC Mak Joon Nien memuji senarai calon tahun ini yang mempamerkan pencapaian membanggakan serta dedikasi utuh terhadap amalan perniagaan yang mampan.

"Memandangkan kualiti pencalonan yang luar biasa, tahun ini sesi pembentangan dan soal jawab telah diperkenalkan bagi memberikan pemahaman lebih mendalam kepada para juri untuk membuat penilaian calon-calon utama.

"Terima kasih kepada semua calon di atas pencapaian yang sangat cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan.

Anugerah Kecemerlangan Perniagaan BMCC yang dimulakan pada 2018 itu bertujuan untuk meraikan hubungan perniagaan yang berterusan antara UK dan Malaysia dan memberi penghargaan kepada syarikat yang mencatatkan prestasi cemerlang dalam pelbagai kategori.

Bagi penerima anugerah lain, Cardiff Metropolitan University dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) menerima Anugerah Perkongsian Institusi Pendidikan UK-Malaysia bagi menghargai usaha kerjasama mereka yang meningkatkan reputasi dan sumbangan penting melalui permohonan geran yang berjaya dan inisiatif inovatif.

Dyson Manufacturing Sdn Bhd menerima Anugerah Teknologi dan Inovasi atas kehebatan inovatifnya dalam membangunkan produk isi rumah unggul.

HL Design Group Sdn Bhd, syarikat seni bina, meraih Anugerah Perusahaan Kecil dan Sederhana Cemerlang (PKS) atas pencapaiannya meningkatkan kemahiran pekerja, berkongsi pengetahuan serantau dan menggalakkan kemampanan melalui model reka bentuk yang unik.

Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd pula menerima Anugerah Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus Cemerlang (ESG) atas laporan kemampanan yang komprehensif dan strategi yang jelas untuk mendukung prinsip ESG.

Manakala PricewaterhouseCoopers Malaysia pula meraih Anugerah Kepelbagaian dan Inklusif  bagi pempelbagaian dasar yang inklusif dan mantap selain menyokong pengaturan kerja yang fleksibel.

Pada masa depan, BMCC merancang untuk memperkenalkan Anugerah Perkongsian Pendidikan Cemerlang K-12 dalam edisi anugerah akan datang bagi memberi penghargaan terhadap inisiatif yang memberi impak besar kepada sektor pendidikan, merangkumi pelajar, guru dan komuniti.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan